Keputusan Mahkamah Persekutuan sahkan PLS kukuhkan keyakinan pasaran terhadap projek Mah Sing di Iskandar Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keputusan Mahkamah Persekutuan sahkan PLS kukuhkan keyakinan pasaran terhadap projek Mah Sing di Iskandar Malaysia

Antara projek Mah Sing di Medini Iskandar Malaysia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Sept – Mah Sing Group Berhad menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan kesahihan Skim Pajakan Swasta (PLS) di Medini Iskandar Malaysia, Johor .

 

Pada 10 September lalu, Mahkamah Persekutuan telah sebulat suara membuat keputusan itu yang meningkatkan keyakinan pelabur dan memperkukuh kedudukan Medini sebagai hab pelaburan antarabangsa.

 

Berdasarkan penghakiman, Mahkamah Persekutuan menegaskan PLS dibangunkan dalam kerangka undang-undang dan dasar yang komprehensif secara menyeluruh.

 

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) ditubuhkan di bawah Akta IRDA 2007 yang diberi mandat untuk merangka dasar nasional, hala tuju undang-undang dan strategi bagi Wilayah Pembangunan Iskandar. 

 

Berdasarkan mandat ini, IRDA telah mengeluarkan Garis Panduan Perolehan Hartanah oleh Kepentingan Asing di Medini Iskandar Malaysia, yang disahkan oleh pihak berkuasa tanah Johor. 

 

Garis panduan ini dengan jelas menerima pakai PLS sebagai struktur pemilikan rasmi bagi hartanah di Medini.

 

Dalam kerangka ini, konsep pemilikan di Medini telah ditetapkan berdasarkan pajakan persendirian, membolehkan pemindahan pajakan kepada pembeli asing sejajar dengan dasar pembangunan negara yang lebih luas.

 

Berdasarkan pemerhatian Mahkamah, Mah Sing bertindak mematuhi kerangka ini, bergantung pada representasi dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan dalam merancang projek, membuat komitmen kontrak, dan mendapatkan pelaburan. 

 

Para pembeli turut dimaklumkan sepenuhnya mengenai struktur PLS pada masa pembelian, menikmati pengecualian daripada sekatan pemilikan asing dan syarat harga minimum.

 

Mah Sing gembira

Sementara itu, jurucakap Mah Sing berkata, syarikat itu menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang memberi kepastian dan keyakinan kepada semua pihak berkepentingan di Medini.

 

“Sebagai pemaju yang bertanggungjawab, Mah Sing sentiasa mematuhi rangka kawal selia dan bergantung dengan niat baik pada kelulusan pihak berkuasa. 

 

“Keputusan ini memperkukuh lagi daya tarikan Medini sebagai destinasi pelaburan antarabangsa dan menyokong visi kami membangunkan bandar yang berdaya maju dan bersedia untuk masa depan,” katanya.

 

Penghakiman itu adalah pengiktirafan pertama oleh Mahkamah Persekutuan bahawa PLS adalah sebahagian daripada rangka perundangan dan kawal selia yang diwujudkan di bawah IRDAA dan Garis Panduan Medini. 

 

Ia mengesahkan kesahihan PLS, memberikan kepastian undang-undang kepada pemaju, pelabur dan pemilik rumah, serta menjamin kestabilan di salah satu zon pembangunan utama negara.

 

Dengan hampir 60 projek di seluruh Malaysia merangkumi pembangunan kediaman, komersial, perindustrian, dan pusat data, Mah Sing kekal komited untuk menyampaikan projek inovatif dan mampan yang mempertingkat komuniti dan mewujudkan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan.

 

Kes ini dipengerusikan oleh Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Hasnah Dato’ Mohammed Hashim, bersama  Tan Sri Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Hanipah Farikullah. 

 

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan yang dibawa oleh pembeli untuk mencabar asas perundangan skim tersebut dan memutuskan bahawa PLS adalah selaras dengan kerangka perundangan dan kawal selia Malaysia. 

 

Mah Sing pula diwakili oleh Datuk Lim Chee Wee, Marcus Tan dan Eunice Kwong dari Tetuan Ricky Tan & Co. - DagangNews.com