KUALA LUMPUR 8 Jan – Capital A Bhd menjelaskan keputusan Bursa Malaysia untuk tidak meluluskan permohonannya bagi melanjutkan tempoh pelaksanaan pengagihan saham AirAsia X Bhd kepada pemegang saham tidak memberi kesan yang ketara terhadap latihan korporat kumpulan yang sedang berjalan.
Dalam satu kenyataan, Capital A berkata, strategi keseluruhan kumpulan kekal tidak berubah, dengan hanya pelarasan kecil dibuat terhadap garis masa penyempurnaan.
Menurut Capital A, pengagihan saham tersebut bergantung kepada penyempurnaan penempatan persendirian AirAsia X Bhd, memandangkan saham baharu AirAsia X perlu diterbitkan terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada pemegang saham Capital A.
Susulan kelulusan Bursa Malaysia untuk AirAsia X melanjutkan tarikh akhir penempatan persendirian kepada 19 Januari 2026, garis masa Capital A akan diselaraskan dengan tarikh berkenaan.
Pada 6 Januari, Capital A mengumumkan Bursa Malaysia telah menolak permohonannya untuk mendapatkan lebih masa bagi menyempurnakan pengagihan saham AirAsia X kepada pemegang saham.
Bagaimanapun, pengawal selia pasaran itu meluluskan permohonan Capital A untuk melanjutkan satu lagi permohonan berasingan melibatkan penyempurnaan cadangan penempatan persendirian, pengambilalihan AirAsia Aviation Group Ltd serta pemberian opsyen langganan sehingga 19 Januari.
Capital A turut menjelaskan pengumuman tarikh kelayakan pada 3 Disember 2025 dibuat berdasarkan jangkaan bahawa pelabur akan memenuhi keperluan dokumentasi bagi penempatan persendirian AirAsia X, yang pada asalnya disasarkan untuk disiapkan selewat-lewatnya 31 Disember 2025.
Pengumuman tersebut membolehkan Capital A mengemukakan permohonan tambahan kepada Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 116 Akta Syarikat 2016 bagi pengurangan modal saham terbitan kira-kira RM2.7 bilion, berdasarkan harga penutupan saham AirAsia X sebanyak RM1.62 pada tarikh kelayakan.
Menurut Capital A, tarikh kelayakan itu dipilih secara berhati-hati bagi memastikan kumpulan mempunyai tempoh masa yang mencukupi untuk mendapatkan kelulusan mahkamah bagi pelaksanaan cadangan berkenaan. - DagangNews.com








