KUALA LUMPUR 26 Ogos - Selepas 40% laporan kewangan diterima pada suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) dapat disaksikan prestasi bercampur dalam kalangan syarikat tersenarai yang mencerminkan situasi berhati-hati akibat ketidaktentuan makroekonomi serta momentum pendapatan perlahan.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, setakat ini, kurang 60% syarikat melaporkan keputusan yang sejajar dengan jangkaan, manakala kira-kira 27% mencatat prestasi di bawah jangkaan, termasuk CTOS Digital, PIE Industrial, SP Setia, YTL REIT, dan Hartalega, yang terjejas akibat hasil jualan yang lemah, tekanan margin, dan peningkatan kos operasi.
Sebaliknya, hanya 14% syarikat melepasi jangkaan, dipacu oleh prestasi kukuh daripada Nestle (Malaysia), Frontken, SD Guthrie, TSH Resources, 7-Eleven Malaysia, dan Ramssol – didorong pengurusan kos yang baik, pemulihan permintaan dan sokongan faktor khusus sektor.
"Secara keseluruhan, prestasi pendapatan bagi kebanyakan sektor adalah mendatar tanpa kejutan besar, selaras dengan unjuran awal.
"Sektor perbankan yang menjadi tumpuan utama dijangka mencatatkan keputusan yang sejajar, seperti ditunjukkan oleh keputusan AMMB baru-baru ini. Kesan daripada penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada bulan Julai juga telah diambil kira dalam unjuran yang lebih sederhana," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, dari segi penarafan, sentimen berhati-hati terus disokong oleh tiada sebarang naik taraf penarafan setakat ini. Walaupun hanya tujuh penurunan penarafan direkodkan – kesemuanya diturunkan kepada sarann "pegang" – ia lebih disebabkan oleh potensi kenaikan harga saham yang semakin terhad, bukannya kemerosotan asas.
Syarikat terlibat termasuk CTOS, PIE Industrial, IGB REIT, Sunway REIT, YTL Power, SAM Engineering, dan SP Setia. Sorotan penurunan penarafan termasuk:
- CTOS Digital: Turun taraf disebabkan kos operasi lebih tinggi daripada jangkaan dan pemotongan unjuran pendapatan FY25 sebanyak 27%; TP diturunkan kepada 92 sen daripada RM1.30.
- PIE Industrial: Pendapatan 2Q25 jatuh 15% suku ke suku berikutan jualan EMS lebih lemah, dengan margin kasar susut; TP dikurangkan kepada MYR3.56 daripada RM4.70.
- SP Setia: Gagal mencapai sasaran jualan hartanah 1H25 (hanya 39% daripada sasaran tahunan); TP diturunkan kepada RM1.10 daripada RM1.46.
- SAM Engineering: Terjejas oleh campuran produk yang kurang menguntungkan dan tekanan mata wang asing; TP disemak semula kepada RM4.15 daripada RM4.63.
Walaupun terdapat sentimen berhati-hati, beberapa syarikat berkapitalisasi besar terus menunjukkan prestasi kukuh. Penarafan "beli" dikekalkan bagi:
- Nestle (Malaysia): Menunjukkan pemulihan beransur-ansur dalam volum jualan, selari dengan penurunan kos bahan mentah.
- Frontken: Menikmati prestasi margin kukuh pada 1HFY25 dan dijangka terus berkembang berikutan peningkatan permintaan teknologi cip canggih.
- SD Guthrie: Disokong oleh kekuatan operasi huluan serta potensi keuntungan daripada pelupusan tanah.
Secara keseluruhan, musim keputusan 2QFY25 menonjolkan pasaran yang berhati-hati, dengan syarikat-syarikat terus menyesuaikan diri dengan tekanan kos, permintaan perlahan dan ketidaktentuan luaran.
Pelabur disarankan untuk kekal selektif dan memberi tumpuan kepada asas yang kukuh serta pelaksanaan strategi jangka panjang.- DagangNews.com








