Kepelbagaian pendapatan dijangka bantu perkembangan CapitaLand atasi ketidaktentuan sektor runcit - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kepelbagaian pendapatan dijangka bantu perkembangan CapitaLand atasi ketidaktentuan sektor runcit - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Julai - Usaha CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) mempelbagaikan pendapatannya dijangka membantu perkembangannya dan pada masa sama membantu mengurangkan ketidaktentuan dalam sektor runcit, kata penganalisis. 

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, langkah penempatan saham CLMT yang sedang berlangsung – bertujuan mengumpul sehingga RM250 juta bagi membiayai pengambilalihan dan mengurangkan hutang – akan meningkatkan pendedahan syarikat kepada sektor perindustrian dan logistik kepada 7.9%, berbanding 2.8% daripada jumlah aset di bawah pengurusan (AUM).

 

"Hasil daripada penempatan saham (yang dijangka siap pada suku ketiga tahun kewangan 2025 [3QFY25]) dijangka digunakan sebahagiannya untuk membiayai semula pinjaman bagi pengambilalihan logistik/perindustrian bernilai RM400 juta yang telah disiapkan dan yang masih dalam proses, termasuk Pusat Pengedaran Glenmarie (pengubahsuaian siap pada Januari 2025), Senai Airport City, serta aset yang akan datang di Elmina Business Park dan Nusajaya Tech Park," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan kadar penggearan CLMT akan menurun daripada 44.1% kepada 39.6% selepas penempatan saham.

 

Maybank IB meramalkan sumbangan penuh daripada aset logistik akan bermula pada 3QFY25, dengan pendapatan sewa kasar tahunan sebanyak RM20 juta, atau kira-kira 4% daripada hasil bagi tahun kewangan berakhir Disember 2026 (FY26).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Q2 naik 4.77% CapitaLand Malaysia Trust berwaspada hadapi tarif elektrik, SST

 

CLMT juga mendapat manfaat daripada penyelarasan sewa positif, pendapatan suku penuh daripada Pusat Pengedaran Glenmarie (bermula Januari 2025), serta sumbangan awal daripada Senai Airport City bermula Jun.

 

Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan trajektori positif CLMT akan berterusan ke tahun kewangan 2025 (FY25) dan 2026 (FY26), didorong perkembangan yang memberangsangkan di Pulau Pinang.

 

“Kumpulan ini akan terus berpegang kepada arah tuju untuk memperoleh dan mengembangkan segmen perindustriannya, dengan tumpuan kepada aset logistik sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mempelbagaikan aliran pendapatan portfolio.

 

“Pada masa ini, aset perindustrian menyumbang kurang daripada 5% daripada pendapatan harta bersih (NPI) kumpulan.

 

“Kumpulan itu menyasarkan untuk meningkatkan komposisi segmen perindustrian kepada 20% daripada jumlah aset di bawah pengurusan dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

 

Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan FY25 bagi CLMT, dengan mengambil maklum, penempatan saham yang sedang berjalan dijangka menyumbang kurang daripada 2% kepada jumlah NPI kumpulan.

 

Namun begitu, ia telah menaikkan anggaran pendapatan FY26 sebanyak 8% untuk mengambil kira sumbangan pendapatan daripada aset baharu yang diperoleh di Senai Airport City serta penjimatan faedah hasil daripada penempatan saham yang dicadangkan.

 

Bagaimanapun, pencairan unit yang terhasil dijangka mengurangkan dividen bersih sesaham CLMT bagi FY26 kepada 4.7 sen, berbanding lima sen sebelum ini.- DagangNews.com