KUALA LUMPUR 16 Julai – Industri pembungkusan plastik dijangka terus terus berdepan cabaran dalam tempoh terdekat termasuk kos operasi yang tinggi, persaingan sengit dan prospek permintaan global yang tidak menentu susulan tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “neutral” ke atas saham-saham sektor berkenaan dengan pandangan permintaan terhadap pembungkusan plastik masih bercampur-campur, manakala harga jualan purata (ASP) semakin lemah akibat pengukuhan ringgit dan tekanan harga oleh pesaing.
Firma itu menjangkakan ringgit akan mengukuh kepada paras RM4.08 berbanding dolar AS menjelang 2026, daripada purata RM4.25 pada 2025.
“Oleh itu, pengukuhan ringgit dijangka terus memberi tekanan ke atas ASP dan margin keuntungan melalui kesan terjemahan kadar tukaran asing (forex),” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Berdasarkan anggaran Kenanga, setiap perubahan satu peratus dalam kadar forex boleh memberi kesan antara dua hingga tiga peratus ke atas keuntungan sektor ini.
“Walaupun harga resin telah menurun, peningkatan kos operasi masih boleh mengurangkan keuntungan sebanyak lima hingga 15 peratus.
“Penyusutan jumlah dagangan global dijangka memberi kesan negatif terhadap permintaan keseluruhan bahan pembungkusan plastik, khususnya dalam sektor perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang banyak menggunakan filem plastik dalam operasi mereka.
“Persaingan daripada pemain tempatan dan China dijangka berterusan dan berkemungkinan semakin sengit dalam tempoh akan datang,” kata Kenanga.
Kenanga turut berpandangan tiada pemangkin penilaian semula jangka pendek untuk sektor tersebut, yang telah berdepan tekanan sejak tahun lalu akibat kelembapan permintaan global, lebihan kapasiti serta lambakan bekalan dari China ke Asia Tenggara ekoran penyusutan permintaan dari pasaran Amerika Syarikat dan Eropah.
Dalam kalangan saham yang dikaji, SLP Resources Bhd dinamakan sebagai pilihan utama dengan saranan “outperform” dan harga sasaran RM1 sesaham.
Selain itu, Thong Guan Industries Bhd turut diberi saranan “outperform” dengan harga sasaran RM1.44 sesaham. - DagangNews.com








