Kenaikan tarif pelabuhan berpotensi lonjak hasil Westports tahun ini - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan tarif pelabuhan berpotensi lonjak hasil Westports tahun ini - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Westports Holdings Bhd berpotensi mencatatkan peningkatan pertumbuhan hasil pada tahun ini didorong kenaikan tarif pelabuhan serta aktiviti penghantaran, kata penganalisis.

 

Ia susulan daripada jumlah kontena sebanyak 5.57 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) yang dikendalikan kumpulan itu pada separuh pertama tahun ini (1H25), meningkat sebanyak 3.1% berbanding 5.40 juta TEU dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Tahun lalu, pengendali utama Pelabuhan Klang itu mencatatkan jumlah tahunan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 10.98 juta TEU.

 

CIMB Securities menaik taraf saranan ke atas saham Westports daripada “pegang” kepada “beli” dan menaikkan harga sasarannya kepada RM6.20 sesaham daripada RM5.10 sebelum ini, dengan alasan minat pelabur yang kembali meningkat berikutan beberapa risiko geopolitik yang semakin reda, pemangkin kenaikan tarif pelabuhan dan kecekapan operasi yang lebih baik.

 

Bermula 15 Julai lalu, tarif di Pelabuhan Klang meningkat sebanyak 15% sebagai sebahagian daripada kenaikan berperingkat sebanyak 30% sehingga Januari 2027.

 

Caj pengendalian terminal bagi setiap TEU akan meningkat kepada RM345 (daripada RM300), diikuti RM375 berkuat kuasa 1 Januari 2026, dan RM390 pada 1 Januari 2027.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keterlihatan pendapatan Westports adalah kukuh bagi separuh kedua 2025 (2H25), disokong pelaksanaan tarif dan aliran aktiviti penghantaran yang stabil.

 

“Kerja-kerja penyelenggaraan yang dijangka siap pada bulan ini juga akan mengembalikan kapasiti dermaga,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan jumlah kontena bagi tahun ini pada kadar 2.5%, disokong oleh perkhidmatan baharu daripada pakatan perkapalan dan penormalan jumlah selepas pengunduran ZIM Integrated Shipping Services Ltd, salah satu pengendali utama dalam industri perkapalan kontena global, tahun lalu.

 

Bagaimanapun, CIMB Securities berkata, jumlah kargo gateway mungkin akan melemah disebabkan oleh import logam dan sisa elektronik yang lebih lemah.

 

“Selain itu, Westports turut memberi amaran, ketidaktentuan berhubung pelaksanaan tarif boleh menambah risiko penurunan permintaan untuk kargo gateway,” katanya.

 

Sementara itu, CGS International Research (CGSI Research) menaikkan unjuran pertumbuhan jumlah kontena bagi tahun ini kepada 1%, dengan mengambil kira aktiviti transshipment yang lebih kukuh daripada jangkaan.

 

Firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran hasil perkhidmatan nilai tambah (VAS), kerana kontena sisa elektronik (e-waste) kekal lebih lama di kawasan simpanan, sekali gus meningkatkan pendapatan daripada caj penyimpanan.

 

“Kami percaya kadar pengisian kawasan simpanan akan menurun separuh ke separuh tahun dalam 2H25, namun kami menjangkakan penurunan itu berlaku secara beransur-ansur. Kami kini menyebarkan penurunan itu sehingga tahun 2026 berbanding andaian penurunan mendadak tahun ini,” katanya.

 

CGSI Research berkata, keputusan kukuh bagi 1H25 menjadi asas kepada prestasi yang lebih baik dalam 2H25, dengan kenaikan tarif pada Julai dijangka menyokong pendapatan suku ketiga 2025 (3Q25).

 

“Kami menjangkakan keputusan kukuh bagi 3Q25 berpotensi menjadi pemangkin kepada penilaian semula saham. Para pelabur juga sepatutnya berasa lega bahawa Amerika Syarikat telah mengenakan tarif sebanyak 19% ke atas Malaysia, iaitu hampir sama dengan negara-negara Asia Tenggara lain,” katanya. - DagangNews.com