KUALA LUMPUR 6 Ogos - Kenaikan kadar tarif air bagi segmen bukan domestik yang diumumkan Ranhill SAJ Sdn Bhd berkuat kuasa 1 Ogos dijangka menjadikan kedudukan kewangan yang kukuh bagi syarikat tersebut untuk menghadapi kenaikan bayaran pajakan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, lonjakan kadar tarif itu merupakan langkah penting dalam megukuhkan kedudukan kewangan Ranhill SAJ, memandangkan kos pajakan kepada PAAB dijangka meningkat dalam masa terdekat.
Katanya, langkah itu bukan sahaja memberikan ruang kewangan kepada Ranhill SAJ untuk menampung komitmen pajakan, tetapi juga menyokong rancangan pelaburan jangka panjang, termasuk penggantian paip lama serta pembinaan empat loji rawatan air baharu di Johor yang dianggarkan menelan belanja sekitar RM1.4 bilion.
"Bagaimanapun, pelaksanaan pelarasan tarif secara mengejut ini menunjukkan industri air masih belum mencapai fasa peralihan ke arah rangka kerja tarif yang lebih kukuh dan berstruktur seperti yang diamalkan dalam sektor elektrik dan gas.
"Kami menjangkakan setiap kenaikan 10 sen/m³ dalam tarif purata bukan domestik akan menyumbang tambahan kira-kira RM15 juta kepada keuntungan bersih tahunan RSAJ, sekali gus menjadikan langkah ini sebagai pendorong penting kepada daya tahan kewangan syarikat dalam tempoh yang mencabar ini," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelarasan tarif air di Johor langkah penting demi kepentingan jangka panjang rakyat Johor - Ranhill SAJ
Pelarasan tarif menyaksikan kadar untuk penggunaan kurang daripada 35 meter padu dinaikkan kepada RM4.15/m³ (daripada RM3.15/m³), manakala kadar bagi penggunaan melebihi 35 meter padu meningkat kepada RM5.30/m³ (daripada RM3.55/m³). Selain itu, tarif bagi segmen perkapalan telah dinaikkan kepada RM8.03/m³ (daripada RM7.05/m³), dan kadar khas baharu bagi pusat data telah diperkenalkan pada RM5.33/m³.
Terdahulu, Pelarasan tarif baharu tersebut diluluskan kabinet menerusi warta yang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2025.
Ia berikutan permohonan pelarasan yang dimajukan negeri-negeri di Semenannjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan bertujuan mengukuhkan lagi perkhidmatan air bersih dan terawat kepada pengguna.
Namun, pelarasan di Johor tidak melibatkan majoriti pengguna domestik, rumah ibadat serta golongan rentan dalam kelompok e-Kasih.
Sejajar perubahan tarif dan jangkaan peningkatan penggunaan air, Maybank IB menaikkan unjuran keuntungan bersih bagi Ranhill Utilities untuk tempoh kewangan 18 bulan yang berakhir FY25 serta FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 26%, 89% dan 118%.
Firma penyelidikan itu memberikan penarafan "pegang" dengan harga sasaran (TP) RM1.40 sesaham. - DagangNews.com








