KUALA LUMPUR 5 Ogos - Semakan semula tarif air baru-baru ini memberi lebih fleksibiliti kepada pengendali air untuk menambah baik infrastruktur, mempercepatkan penggantian paip lama, dan menangani isu air tidak berhasil (NRW).
CIMB Securities berkata, pelarasan tarif itu turut membantu mengimbangi peningkatan dari segi kos elektrik dan perbelanjaan operasi lain yang dihadapi oleh pengendali loji rawatan air (LRA).
“Sebagai contoh, kerajaan Negeri Sembilan telah menyaksikan peningkatan perbelanjaan mengepam air bulanan, terutamanya bagi sektor komersial dan perindustrian di negeri itu, sebanyak RM700,000 sejak Julai 2024,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, beberapa negeri telah memperincikan rancangan mereka untuk menggunakan hasil tambahan daripada struktur tarif air yang disemak semula itu.
Katanya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dijangka menjana pendapatan tambahan sebanyak RM20 juta pada separuh kedua tahun 2026 hasil daripada tarif baharu tersebut, yang akan dilaburkan semula untuk menambah baik infrastruktur bekalan air di Pulau Pinang.
“Projek yang sedang dirancang termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Taman Mengkuang, Loji Rawatan Air Sg. Kerian yang baharu, dan pembinaan saluran paip air terawat dari kawasan Macallum ke Bukit Dumbar,” katanya.
CIMB Securities berkata, terdapat keperluan mendesak untuk menaik taraf dan memulihkan infrastruktur air yang sudah usang, dengan mengambil maklum 98 daripada 350 Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh negara sedang beroperasi melebihi kapasiti yang dirancang, manakala 120 lagi LRA sedang berdepan dengan isu operasi.
Katanya, usaha menangani cabaran-cabaran itu adalah penting bagi memastikan kelestarian jangka panjang perkhidmatan air negara.
Pelarasan tarif air baru-baru ini merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan air di bawah Pelan Transformasi Sektor Air Malaysia 2040 (AIR 2040).
“Ini amat penting bagi menyokong permintaan air negara, yang sedang meningkat pada kadar purata antara 2% hingga 6% setahun,” katanya.
CIMB Securities berkata, kenaikan tarif air merupakan satu langkah ke hadapan, sektor itu masih memerlukan model pembiayaan alternatif yang melibatkan penyertaan pihak swasta.
Ini akan membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan persekutuan dalam menyokong pelaburan besar yang diperlukan di bawah pelan AIR 2040.
“Bagi pendedahan kepada pelaburan berkaitan air, kami mengulangi pandangan bahawa pengendali air berlesen di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan menjadi penerima manfaat utama daripada semakan semula tarif air.
“Selain Ranhill Utilities Bhd, PBA Holdings Bhd merupakan satu-satunya lagi pengendali air berlesen di negara ini yang tersenarai di Bursa Malaysia.
“Sementara menunggu perkembangan lanjut mengenai peranan sektor swasta dalam transformasi sektor air Malaysia, kami mengekalkan Gamuda Bhd sebagai pilihan utama kami bagi pembinaan infrastruktur berkaitan air,” katanya. - DagangNews.com








