Kemudahan OCK Group di Myanmar tidak terjejas dalam kejadian gempa bumi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemudahan OCK Group di Myanmar tidak terjejas dalam kejadian gempa bumi

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 April - OCK Group Bhd tidak menjangkakan sebarang kesan jangka panjang yang besar terhadap operasi atau prestasi perniagaannya di Myanmar susulan gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter yang melanda pada Jumaat lalu.

 

Penyedia rumusan rangkaian telekomunikasi itu berkata, kira-kira 90% tapak menara OCK Myanmar terletak di kawasan pinggir bandar dan luar bandar, yang kurang terjejas berbanding pusat bandar akibat gempa bumi berkenaan.

 

"Lokasi tapak menara itu meminimumkan potensi gangguan terhadap rangkaian dan operasi kami," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Menurut laporan tahunan OCK 2023, kumpulan memiliki lebih 1,200 tapak Menara di Myanmar.

 

Syarikat itu turut menyatakan, pasukannya juga telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke hampir semua kemudahan menara mereka bagi memastikan ia tidak terjejas atau rosak.

 

"Sehingga hari ini, kami telah memeriksa 95% tapak kami dan kebanyakannya berada dalam keadaan baik.

 

"Hanya empat menara yang perlu diperbaiki akibat kerosakan oleh gempa bumi tersebut," jelasnya.

 

OCK berkata, semua menara yang diperiksa tidak menunjukkan sebarang kerosakan besar sehingga boleh menjejaskan fungsi atau prestasi rangkaian.

 

"Pemeriksaan lanjut akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang untuk memastikan semua tapak dinilai dengan teliti," ujarnya.

 

Syarikat itu turut memaklumkan, semua kakitangan OCK Myanmar juga selamat daripada gempa bumi tersebut. - DagangNews.com