Kemerosotan pasaran global, CGS International percaya sektor pembinaan kembali jadi tumpuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemerosotan pasaran global, CGS International percaya sektor pembinaan kembali jadi tumpuan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 April - CGS International (CGSI) percaya sektor pembinaan mungkin kembali menjadi tumpuan selepas banyak sektor terjejas akibat kemerosotan pasaran global semasa dan kembimbangan mengenai tarif.

 

"Jika perang tarif berlaku sepenuhnya dan menjejaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, terdapat kemungkinan kerjaan boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan ekonomi melalui sektor pembinaan.

 

“Kami berpendapat sektor pembinaan mempunyai kesan pengganda yang kuat memandangkan hubung kaitnya yang kukuh dengan pertumbuhan KDNK, yang lebih ketara pada 2.8 hingga 4.6 kali KDNK pada suku pertama hingga keempat 2024 berbanding 1.2 hingga 2.3 kali pada suku pertama hingga suku keempat 2023,” kata firma penyelidikan itu.

 

Indeks Pembinaan Kuala Lumpur jatuh sebanyak 25% setakat tahun ini selepas mencatatkan kenaikan 63% pada tahun lepas.

 

CGS International berkata, sektor itu kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 13 kali untuk 2025 dan dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 17% tahun ini, disokong peningkatan pulangan ke atas ekuiti (ROE) kepada 11.6%.

 

“Peningkatan ROE yang lebih kukuh kini, ditambah dengan prospek pengisian semula buku pesanan yang masih jelas, seharusnya menyokong pengembangan penilaian,” katanya.

 

“Semakan kami menunjukkan, aliran projek pusat data kekal kukuh dengan lebih banyak tender dan percepatan penganugerahan projek, di mana penganugerahan dijangka bermula dari suku kedua 2025 (2Q25) dan seterusnya,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, Sunway Construction Group Bhd (SunCon) akan dapat menukar beberapa peluang peluasan untuk projek DC sedia ada menjelang suku kedua 2025 dan kini mempunyai enam tender aktif untuk pelanggan baharu.

 

Sementara itu, katanya, IJM Corp Bhd mempunyai saluran projek yang kukuh dengan empat hingga lima tender pusat data yang berjumlah sekurang-kurangnya RM5 bilion.

 

“Gamuda, dalam taklimat terbarunya, percaya sasaran konservatif telah ditetapkan untuk projek pusat data dengan hanya mengambil kira tiga daripada tujuh projek berpotensi pada tahun kalendar 2025, dan berpendapat, rakan kongsi utama pusat data ingin mempercepatkan lebih banyak projek,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu juga menyatakan, terdapat potensi nilai kontrak tambahan untuk Gamuda sebanyak RM3 bilion bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang, menjadikan jumlah keseluruhan kontrak kepada RM8.3 bilion.

 

“Ini membuka peluang tambahan dalam buku pesanan untuk kontraktor lain seperti IJM dan SunCon untuk mengambil peranan sebagai subkontraktor.

 

“Menurut Gamuda, projek tersebut kini berada dalam fasa penyesuaian reka bentuk dan mobilisasi jentera, manakala tender untuk Jurutera Semakan Bebas dan bekalan bahan mentah sedang dijalankan,” katanya.

 

Namun begitu, CGS International menyedari terdapat kelembapan ketara dalam tender bagi kilang semikonduktor disebabkan ketidaktentuan berkaitan tarif, yang meletakkan tema "China Plus One" dalam keadaan tergantung.

 

Firma penyelidikan itu percaya, harga besi mungkin menunjukkan trend penurunan memandangkan tarif tinggi yang dikenakan ke atas eksport China ke Amerika Syarikat.

 

“Kami mengulangi saranan "overweight" kami terhadap sektor ini memandangkan peluang kemenangan kontrak masih jelas. 

 

"Pilihan utama kami kekal Gamuda, SunCon dan IJM, yang kesemuanya mempunyai pengurusan yang kukuh dengan risiko pelaksanaan yang minimum,” katanya.- DagangNews.com