KUALA LUMPUR 2 Sept - Pendapatan Tan Chong Motor Holdings Berhad diramal terus terjejas disebabkan kemasukan banyak jenama automotif dari China yang terus meningkatkan persaingan di pasaran tempatan dan serantau, kata RHB Research.
Katanya, landskap industri automotif Malaysia kini berubah pantas dengan jenama-jenama dari China semakin mengukuhkan kedudukan melalui harga kompetitif, rangkaian model yang lebih luas serta tawaran selepas jualan yang menarik.
Firma penyelidikan itu berkata, situasi berkenaan memberi tekanan besar kepada jenama seperti Nissan.
Bagi separuh pertama tahun 2025, Tan Chong Motor mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM67.4 juta, mengecil 22% berbanding tahun sebelumnya.
Perolehan pula turun 2% kepada RM1.1 bilion, disebabkan kelemahan segmen automotif akibat persaingan yang semakin sengit di pasaran dalam dan luar negara.
“Jualan dijangka terus berada dalam tekanan sepanjang tahun ini, disebabkan persaingan hebat daripada jenama China,” katanya dalam satu nota kajian sambil menambah, ketiadaan strategi pemulihan jelas daripada pihak pengurusan memberukkan lagi prospek jangka pendek.
Walaupun operasi teras automotif masih rugi, RHB Research mengekalkan saranan "beli" terhadap saham kumpulan itu kerana potensi penilaian semula aset tanah miliknya yang boleh menjadi pemangkin jangka panjang.
Katanya, kumpulan itu memiliki kira-kira 5.67 hektar tanah bukan pembuatan bernilai sekitar RM220 juta, lebih separuh daripada modal pasaran semasanya.
Namun, tanpa garis masa yang jelas untuk penjualan atau pembangunan tanah tersebut, ketidakpastian terhadap pemulihan jangka dekat kekal tinggi.
“Potensi nilai aset masih ada, tetapi kejayaan bergantung kepada pelaksanaan,” katanya.
Firma penyelidikan itu menegaskan, keupayaan Tan Chong Motor mempertahankan kedudukan pasaran bergantung kepada strategi produk, pengurusan kos, serta kebolehan Nissan menawarkan saingan yang lebih kukuh terhadap jenama China yang kian agresif. - DagangNews.com








