Kelulusan kuota tambah bilangan tenaga kerja asing Manforce kepada 10,700 orang menjelang 2028 – New Paradigm Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelulusan kuota tambah bilangan tenaga kerja asing Manforce kepada 10,700 orang menjelang 2028 – New Paradigm Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei – New Paradigm Research memulakan liputan ke atas Manforce Group Berhad dengan saranan “Beli” disokong prospek pertumbuhan kukuh dalam segmen pengurusan pekerja asing serta penilaian yang masih dianggap menarik berbanding rakan serantau.

 

Firma penyelidikan itu menetapkan harga sasaran RM0.48 sesaham, mewakili potensi kenaikan kira-kira 26% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM0.38.

 

New Paradigm berkata, syarikat menyasarkan untuk mengumpul dana IPO sebanyak RM30.4 juta yang akan digunakan terutamanya untuk pengembangan perniagaan, modal kerja, pembangunan sistem teknologi maklumat serta kos penyenaraian.

 

Menurutnya, kira-kira 48% daripada dana tersebut akan digunakan untuk pengembangan perniagaan melalui pengambilan pekerja asing baharu di bawah kuota pelanggan dan kuota dalaman syarikat yang bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan.

 

“Manforce ketika ini menguruskan kira-kira 6,100 pekerja dan jumlah ini dijangka meningkat kepada sekitar 10,700 pekerja menjelang tahun kewangan 2028, disokong oleh permohonan sebanyak 10,000 pekerja baharu,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Daripada jumlah permohonan tersebut, New Paradigm mengunjurkan kadar kelulusan sekitar 60% yang akan menyokong pengembangan kapasiti operasi syarikat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

“Kami menjangkakan perkembangan ini akan mendorong pertumbuhan keuntungan bersih pada kadar tahunan terkumpul sebanyak 23% bagi tempoh tahun kewangan 2025 hingga 2028.

 

“Dalam masa sama, penilaian IPO Manforce dilihat masih menarik dengan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sekitar 11 kali bagi tahun kewangan 2027, berbanding purata rakan serantau sekitar 14 kali,” katanya.

 

Firma itu turut menjelaskan model perniagaan Manforce adalah berasaskan pengurusan pekerja asing untuk pelanggan tanpa penglibatan langsung dalam pengambilan pekerja, sebaliknya memberi tumpuan kepada perkhidmatan sokongan.

 

Antara perkhidmatan tersebut termasuk penginapan, pengangkutan, pengurusan kebajikan, insurans serta sokongan pentadbiran kepada pekerja dan majikan, yang menjana pendapatan berulang kepada syarikat.

 

New Paradigm berkata purata keuntungan kasar adalah sekitar RM300 hingga RM400 bagi setiap pekerja sebulan, menjadikan model perniagaan ini stabil dan berulang.

 

t

 

Segmen pengurusan pekerja asing (FWM) menyumbang kira-kira 60% kepada keuntungan kasar kumpulan, manakala segmen perkhidmatan buruh (MLS) pula menawarkan margin lebih tinggi tetapi bergantung kepada kelulusan kuota kerajaan.

 

Segmen MLS ketika ini menguruskan kira-kira 1,940 pekerja dan terhad oleh kuota yang diluluskan, namun mencatat margin keuntungan kasar sekitar RM350 bagi setiap pekerja sebulan.

 

Firma itu berkata Manforce turut mempunyai segmen kecil lain termasuk pengurusan asrama dan perkhidmatan sampingan seperti insurans serta remitans, namun sumbangannya kepada hasil kumpulan adalah minimum.

 

Menurutnya, keadaan kekurangan tenaga kerja di pasaran tempatan terus menyokong keperluan industri terhadap pekerja asing, sekali gus memberi ruang pertumbuhan berterusan kepada Manforce.

 

Firma itu berkata walaupun terdapat risiko dasar kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, pelaksanaan dasar tersebut dijangka berdepan cabaran dari segi keperluan industri.

 

Dalam masa sama, kebergantungan syarikat kepada lima ejen pemasaran eksklusif (EMA) turut dilihat sebagai risiko, memandangkan kira-kira dua pertiga hasil dijana melalui saluran tersebut.

 

New Paradigm berkata struktur komisen EMA sekitar 2.7% hingga 3.5% memberi kesan kepada margin, namun masih menyokong keupayaan pengembangan pelanggan secara pantas.

 

Dari sudut penilaian, firma itu meletakkan sasaran 14 kali PER bagi tahun kewangan 2027 berdasarkan purata rakan serantau sekitar 14.4 kali, dengan mengambil kira profil pertumbuhan dan pulangan ekuiti yang tinggi.

 

New Paradigm juga menjangkakan pulangan atas ekuiti (ROE) Manforce kekal melebihi 16% selepas IPO, disokong model aset ringan dan margin operasi yang stabil.

 

New Paradigm berpandangan Manforce berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan kitaran semasa permohonan pekerja asing, disokong model pendapatan berulang, asas pelanggan yang pelbagai serta permintaan tenaga kerja yang kukuh dalam ekonomi Malaysia. - DagangNews.com