KUALA LUMPUR 11 Ogos – Persatuan Haulier Malaysia (AMH) menggesa pihak berkuasa segera menyelesaikan isu pengambilan tanah di Kampung Jawa, Klang yang menyebabkan penangguhan pembukaan Seksyen 3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Seksyen tersebut adalah laluan utama yang akan dapat mengurangkan kesesakan di Jalan-Jalan Persekutuan, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya NKVE dan Lebuhraya Shah Alam, terutama bagi pergerakan kenderaan perdagangan dari kawasan perindustrian ke Pelabuhan Klang.
Setiausaha Eksekutif AMH, Mohamad Azuan Masud berkata, kelewatan itu memberikan impak besar kepada lebih 10,000 peralatan kenderaan perdagangan milik ahli persatuan yang terpaksa menggunakan laluan alternatif yang semakin sesak.
“Penangguhan ini bukan sahaja menambah masa perjalanan, malah turut meningkatkan kos operasi dari segi bahan api dan penyelenggaraan serta menjejaskan jadual penghantaran yang kritikal kepada rantaian bekalan negara.
“WCE adalah infrastruktur penting yang dirancang untuk melancarkan pergerakan kenderaan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia, khususnya bagi pengangkutan dari kawasan perindustrian ke Pelabuhan Klang.
“Oleh itu, AMH menggesa Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), pihak kerajaan negeri dan syarikat konsesi untuk mengambil tindakan segera menyelesaikan isu pengambilan tanah agar projek ini dapat disiapkan mengikut jadual demi kepentingan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
AMH juga menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi meminimumkan kesan kelewatan dan memastikan sektor logistik dan pengangkutan negara terus berdaya saing.
“Sektor pengangkutan memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi negara dan AMH mengingatkan kelewatan ini berpotensi memberi kesan domino yang merugikan bukan sahaja kepada ahli persatuan tetapi juga kepada pelbagai sektor industri lain,” katanya.
Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) merangkumi 11 seksyen dengan keseluruhan panjang kira-kira 233 kilometer, bermula dari Banting, Selangor hingga ke Taiping, Perak.
Di negeri Selangor, laluan sepanjang 93.8 kilometer dibahagikan kepada tujuh seksyen, manakala di Perak, jajaran sepanjang 99.2 kilometer terdiri daripada empat seksyen.- DagangNews.com








