Kelewatan penyiapan Kompleks Sukan Shah Alam, unjuran untung bersih MRCB dipotong 14.5% pada FY25 - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelewatan penyiapan Kompleks Sukan Shah Alam, unjuran untung bersih MRCB dipotong 14.5% pada FY25 - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Penganalisis menurunkan unjuran untung bersih Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB) bagi FY25 sebanyak 14.5% selepas mengambil kira sumbangan lebih lemah daripada bahagian pembinaan dan kelewatan penyiapan projek khususnya Kompleks Sukan Shah Alam. 

 

RHB Research berkata, semakan semula itu dibuat selepas kumpulan itu mencatatkan untung teras hanya RM1.1 juta bagi separuh pertama 2025 (1HFY25) - kurang 5% berbanding unjuran tahun penuh penganalisis dan konsensus.

 

Katanya, jika pengecualian keuntungan daripada pelupusan 70% pegangan dalam CSB Development diambil kira, MRCB sebenarnya merekodkan kerugian.

 

 

 

 

 

 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bahagian pembinaan menjunam 79% tahun ke tahun, didorong oleh projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang hampir siap (98% kemajuan kewangan setakat akhir Jun) dan kerja pembinaan semula lima stesen yang masih di peringkat awal. 

 

"Susulan itu, unjuran keuntungan FY26–FY27 dinaikkan 4%–5% apabila pengiktirafan hasil dijangka tertumpu pada tempoh tersebut," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Research berkata, bahagian hartanah pula kembali untung dengan EBIT RM7.8 juta pada 1HFY25 berbanding kerugian RM14.5 juta pada 1HFY24. Jualan hartanah mencecah RM453 juta setakat 1HFY25, dengan sasaran tahunan RM1 bilion.

 

MRCB kini memiliki buku pesanan belum dibil sekitar RM6.3 bilion yang memberi keterlihatan pendapatan untuk tiga tahun akan datang. Peluang baharu mungkin datang daripada projek semula KL Sentral (RM1 bilion), projek mitigasi banjir (RM1.3 bilion), projek peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta sebuah lebuh raya di Perak.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran 70 sen sesaham," katanya.

 

Sementara itu, MBSB Research berkata, prestasi lebih lemah kumpulan pada 2QFY25 berpunca daripada sumbangan yang lebih rendah daripada kedua-dua bahagian pembangunan dan pelaburan hartanah serta segmen kejuruteraan, pembinaan serta alam sekitar.

 

Katanya, pengurusan kumpulan memberi panduan, FY25 akan lebih perlahan diikuti peningkatan ketara pada FY26/FY27, yang akan menyaksikan pengiktirafan hasil daripada beberapa projek yang telah diperoleh setakat tahun ini seperti lima stesen LRT3 yang dibina semula serta projek Kompleks Sukan Shah Alam.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan teras 1HFY25 merosot 56.3% tahun ke tahun kepada RM23.7 juta, berada di bawah jangkaan namun dalam lingkungan unjuran konsensus, masing-masing menyumbang 41.0% dan 50.0% daripada anggaran setahun penuh.

 

 

 

"Walaupun terdapat kegagalan mencapai sasaran pendapatan, kami mengekalkan saranan "beli" dengan TP 56 sen sesaham, memandangkan MRCB terus disokong oleh pelbagai pemangkin; kumpulan ini telah pun melepasi sasaran penambahan buku pesanan FY25 sebanyak RM5 bilion, dengan memperoleh projek bernilai RM5.6 bilion setakat tahun ini. 

 

"Kami menjangkakan peningkatan aktiviti pada 2HFY25 daripada kerja-kerja infrastruktur awam seperti projek LRT Pulau Pinang dan peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang," katanya. - DagangNews.com