KUALA LUMPUR 7 Okt – Kerajaan disaran supaya mewujudkan satu sistem dalam talian bagi membolehkan orang ramai membida nombor plat kenderaan yang tidak terjual kerana kelemahan dalam sistem sedia ada menyebabkan kerajaan kehilangan hasil berjuta ringgit.
Cadangan itu disuarakan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN–Tampin) yang bimbang kerugian akan terus meningkat sekiranya tiada sebarang tindakan dilakukan bagi mengatasinya.
Beliau berkata, kerugian yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 3/2025 akan terus meningkat sekiranya tiada langkah diambil segera oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperbaiki kelemahan tersebut.
“Angka yang dilaporkan menunjukkan kelemahan dalam sistem bidaan nombor plat JPJ.
“Mengapa perkara ini berlaku dan dibiarkan tanpa tindakan?” soalnya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Isam turut menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak sebagai ejen atau ‘ulat nombor plat’ dengan menjual semula nombor pendaftaran kenderaan di media sosial.
“Adakah aktiviti ini dibenarkan dan apakah langkah kerajaan untuk mengawalnya?.
“Jika tidak ditangani segera, sistem bidaan yang diwujudkan untuk memudahkan urusan rakyat akan tersasar daripada tujuan asal,” katanya.
Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan JPJ sepatutnya mengutip lebihan hasil sebanyak RM115.96 juta daripada jualan nombor pendaftaran kenderaan.
Audit yang dilakukan juga mendapati nombor tidak aktif bernilai RM112.73 juta tidak dilepaskan kepada orang awam, manakala kelulusan bernilai RM2.41 juta tidak dibatalkan walaupun pemohon gagal memenuhi syarat.
Dalam perkembangan lain, Mohd Isam turut mencadangkan agar kontraktor dan pemaju yang gagal menyiapkan projek kerajaan disenaraihitamkan dan lesen mereka dibatalkan bagi memastikan ketelusan serta keberkesanan pelaksanaan projek pembangunan.
“Sebuah pasukan petugas khas perlu ditubuhkan bagi memantau semua projek sakit di bawah Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.
Menurut laporan audit sama, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mencatatkan jumlah tertinggi projek yang belum siap di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
KPM dilaporkan mempunyai 112 projek yang dibatalkan atau digantung, 840 projek belum dilaksanakan, 554 projek sedang berjalan dan 534 projek telah siap.
Bagi KPLB pula, 10 projek dibatalkan atau digantung, 540 projek belum dilaksanakan, 866 projek masih berjalan dan 405 projek telah siap.- DagangNews.com








