Kelantan manfaatkan kepakaran Universiti Malaysia Kelantan bangunkan sektor REE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelantan manfaatkan kepakaran Universiti Malaysia Kelantan bangunkan sektor REE

Pejabat SUK Kelantan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Kerajaan negeri Kelantan kini memasuki fasa baharu dalam membangunkan sektor mineral nadir bumi (REE) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), melalui Pusat Keusahawanan Teknologi Emas, Nadir Bumi dan Bahan (GREAT).

 

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri akan memanfaatkan kepakaran GREAT UMK untuk meneroka potensi REE dalam menjana pendapatan.

 

“Satu pertemuan telah diadakan bersama wakil GREAT UMK dan banyak input telah diberikan hasil pembentangan merangkumi aspek pemetaan geologi, analisis mineralogi dan kaedah pemprosesan REE yang dibangunkan dengan sokongan kepakaran teknikal mereka.

 

“UMK melalui GREAT telah mempunyai kemudahan makmal bersepadu serta peralatan analisa mineral terkini, menjadikannya pusat rujukan penting dalam penyelidikan dan pembangunan REE di Malaysia.

 

“Keupayaan teknikal serta jaringan kerjasama strategik yang dimiliki GREAT merupakan aset besar kepada negeri. Ia membolehkan pembangunan sektor mineral dijalankan secara lebih berhemah, berdaya saing dan memberi impak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t
Kunjung hormat wakil GREAT UMK bersama Datuk Dr Mohamed Fadzli / Gambar Unit Media Timbalan Menteri Besar Kelantan

 

Turut hadir dalam sesi kunjung hormat itu ialah Naib Canselor UMK, Prof. Ir. Ts. Dr. Arham Abdullah dan pimpinan university yang lain.

 

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli menegaskan hasil kajian empirikal yang dibentangkan bukan sahaja dapat membantu kerajaan negeri menilai potensi REE, malah menjadi asas dalam merangka garis panduan kelestarian serta memastikan pengurusan sumber dijalankan secara telus.

 

Menurut beliau, kerajaan negeri komited untuk menyeimbangkan keperluan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar agar pembangunan REE tidak menjejaskan kesejahteraan masyarakat.

 

“Sokongan institusi akademik seperti UMK juga dianggap penting kerana memberi nilai tambah melalui inovasi, penyelidikan dan pembangunan bakat tempatan dalam bidang mineral strategik ini.

 

“Kerajaan negeri percaya penglibatan GREAT akan membantu memperkukuh keyakinan pelabur, sekali gus membuka peluang baharu dalam industri hiliran berasaskan nadir bumi,” katanya.

 

Dengan langkah ini, Kelantan dilihat mampu mengorak strategi lebih terancang dalam meneroka kekayaan sumber mineral, sejajar dengan aspirasi negara untuk memposisikan Malaysia sebagai hab penting dalam rantaian bekalan REE global.

 

Tambahnya, sektor REE Kelantan akan terus diatur dengan pendekatan berhati-hati, berlandaskan prinsip kelestarian dan tadbir urus telus agar manfaatnya dapat dinikmati generasi masa depan. - DagangNews.com