KUALA LUMPUR 8 Jan – Kelantan mencatat prestasi cemerlang dalam kutipan hasil negeri bagi tahun 2025, dengan jumlah RM879.79 juta atau bersamaan 88.22% daripada anggaran tahunan, sekali gus memberi asas kukuh untuk merancang pembangunan negeri secara lebih strategik.
Kejayaan itu disokong oleh sumbangan besar daripada pentadbiran tanah, mineral, hutan serta sumber baharu yang diuruskan secara berdisiplin dan berfokus.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata kejayaan pungutan hasil tanah yang melebihi RM380 juta sehingga Disember 2025 membuktikan komitmen, disiplin dan semangat kebersamaan jentera pentadbiran negeri.
“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan kecekapan pentadbiran, malah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap di Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kelantan hari ini.
Kerajaan Negeri kini dalam fasa pelaksanaan Hala Tuju Portfolio Kerajaan Negeri Kelantan 2024–2028, berpaksikan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) 2023–2033 yang menjadi kompas hala tuju negeri.
Sebanyak 770 pelan tindakan dan 87 program mercu telah dirangka dan dalam tempoh dua tahun pentadbiran, hampir 80 peratus telah digerakkan.
Beliau berkata pengurusan tanah bukan sahaja perlu cekap dan berintegriti, malah mestilah mesra rakyat serta memudahkan urusan.
“Pelaksanaan Sistem e-Tanah pada tahun 2026 dijangka menjadi anjakan besar dalam memendekkan tempoh urusan, meningkatkan ketelusan dan menghapuskan kerenah birokrasi.
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperkukuh punca hasil baharu melalui strategi utama, termasuk KPI kutipan tunggakan cukai tanah sekurang-kurangnya 80 peratus serta kutipan cukai tanah pada kadar 100 peratus.
“Penguatkuasaan hasil hutan dan sumber mineral juga dipergiatkan, manakala sumbangan anak-anak syarikat kerajaan negeri akan disemak semula untuk meningkatkan keupayaan kewangan,” katanya.
Dalam sektor pertanian, Kelantan menekankan kepentingan menjadikannya sebagai nadi kekuatan ekonomi negeri termasuk melalui agropelancongan dan pemerkasaan pemasaran hasil tani.
GLC berkaitan pertanian seperti KelAgro dan Al-Falah Mart akan digerakkan sebagai pemacu pasaran bagi menghubungkan petani dengan pengguna dan pemborong berskala besar.
“Kita juga memperkenalkan Skim Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan yang menyediakan pembiayaan bersasar kepada usahawan kecil, termasuk golongan berpendapatan rendah, belia, wanita, dan usahawan luar bandar.
“Bagi tahun 2026, skim ini diperluas ke semua 45 DUN dengan dana permulaan RM1 juta bertujuan merancakkan ekonomi setempat dan melahirkan lebih ramai usahawan berdaya tahan.
“Pelaksanaan skim ini bukan sekadar menyediakan bantuan modal, tetapi simbol komitmen kerajaan untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif, inklusif dan mampan,” katanya. - DagangNews.com








