Kekurangan dana jejas usaha kitar semula panel solar, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kekurangan dana jejas usaha kitar semula panel solar, kata HLIB

Gambar/Plastics Engineering
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Mei - Usaha kitar semula panel solar di Malaysia sukar dijalankan kerana kekurangan pembiayaan dan kemudahan, sekali gus menghalang pembangunan sistem pengurusan sisa yang mampan.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank Research (HLIB), walaupun tenaga solar penting untuk peralihan tenaga negara, manfaat alam sekitar daripada tenaga bersih itu boleh terjejas jika sisa panel tidak diurus dengan baik selepas tamat tempoh penggunaannya.

 

Firma penyelidikan itu juga berkata, syarikat kitar semula tempatan, Zenviro Solar sebagai contoh, menghadapi masalah kewangan dan kekurangan kemudahan, yang melambatkan usaha kitar semula panel solar dalam skala besar.

 

"Kebanyakan panel yang tidak digunakan dilupuskan, disimpan atau dihantar semula ke negara membangun dan ini menimbulkan persoalan tentang kelestarian amalan tenaga hijau," menurut HLIB dalam satu laporan.

 

Katanya, masalah turut timbul apabila syarikat kitar semula sukar untuk berkembang kerana tiada sokongan pembiayaan kukuh, manakala nilai bahan yang dikitar semula pula tidak cukup tinggi untuk menampung kos operasi.

 

HLIB menjelaskan, bahan berharga seperti silikon, perak dan kuprum daripada panel solar, boleh dikitar semula namun tanpa pelaburan yang mencukupi, usaha tersebut tidak dapat dijalankan secara meluas dan berkesan.

 

Selain itu tambahnya, Malaysia masih dalam proses membangunkan garis panduan khusus untuk pengurusan sisa solar, tidak seperti negara seperti Singapura dan Kesatuan Eropah yang mempunyai undang-undang khusus seperti Waste Electrical and Electronic Equipment Directive dan Resource Sustainability Act.

 

Di Malaysia, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 adalah undang-undang utama untuk menguruskan e-sisa. 

 

Garis panduan yang sedang dirangka akan melibatkan pendekatan seperti Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR), sistem beli balik dan pusat pengumpulan sisa.

 

HLIB percaya, dengan adanya sokongan kewangan, peraturan yang jelas serta teknologi yang lebih baik, sektor berkenaan mampu berkembang dan menyumbang kepada ekonomi kitar semula yang lebih mampan.

 

Ia turut menjangka syarikat-syarikat dalam bidang kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) akan memainkan peranan dalam ekosistem kitar semula pada masa akan datang.

 

Secara keseluruhan, HLIB memberi penarafan 'overweight' kepada sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

 

Dalam laporan itu, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Solarvest Holdings Bhd dengan sasaran harga RM2.25 sesaham. 

 

Syarikat itu komited terhadap amalan kitar semula dan pengurangan sisa melalui pendekatan hierarki pengurusan sisa.

 

Solarvest juga merupakan antara syarikat yang paling mendapat manfaat daripada peningkatan pesanan projek tenaga solar berskala besar.

 

Sementara itu, di peringkat global, dianggarkan sebanyak 212 juta tan sisa panel solar akan dihasilkan menjelang tahun 2050 kerana jangka hayat panel yang terhad.

 

Pasaran kitar semula panel solar dijangka berkembang dengan cepat, dengan pertumbuhan tahunan antara 20% hingga 30% dari tahun 2022 hingga 2030. 

 

Pertumbuhan berkenan didorong oleh peraturan kerajaan, kemajuan teknologi dan peningkatan kesedaran terhadap alam sekitar. - DagangNews.com