Kee Ming rancang IPO di Pasaran ACE kukuhkan modal kerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kee Ming rancang IPO di Pasaran ACE kukuhkan modal kerja

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E), Kee Ming Group Bhd merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk mengukuhkan tenaga kerja serta modal operasi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kee Ming berkata, tawaran awam permulaan (IPO) itu akan melibatkan terbitan awam sebanyak 66.63 juta saham baharu, merangkumi 16.25 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia.

 

“Selain itu, 8.13 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja serta penyumbang yang layak, manakala 42.25 juta lagi melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

“Sebanyak 16.25 juta saham sedia ada akan ditawarkan untuk penjualan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

 

“Secara keseluruhan, penyenaraian itu akan melibatkan sehingga 25.5% daripada modal saham diperbesar syarikat,” kata Kee Ming.

 

Melalui anak syarikatnya, Kee Ming Electrical Sdn Bhd, kumpulan ini terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kejuruteraan M&E serta perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan. 

 

Syarikat yang ditubuhkan pada 2013 itu kini mempunyai lebih 12 tahun rekod operasi dalam pasaran tempatan.

 

Prestasi kewangan Kee Ming mencatat pertumbuhan kukuh dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini apabila keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak daripada RM640,000 pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) kepada RM8.17 juta pada FY25.

 

Setakat ini, syarikat sedang melaksanakan 50 projek dengan baki buku pesanan bernilai RM142.2 juta. 

 

Hasil daripada IPO akan digunakan terutamanya bagi modal kerja projek termasuk pembelian peralatan, bahan, serta pembayaran subkontraktor.

 

Dana berkenaan turut akan digunakan untuk menyediakan bon prestasi projek masa depan yang lazimnya bernilai 5% hingga 10% daripada kontrak dan sah sehingga 24 bulan selepas projek disiapkan.

 

Selain itu, kumpulan juga merancang menambah 20 tenaga kerja baharu, memperoleh sistem ERP (enterprise resource planning) yang diintegrasikan dengan sistem perakaunan AutoCount sedia ada serta menampung modal kerja am dan kos penyenaraian.

 

Sementara itu, hasil daripada tawaran penjualan akan diberikan kepada pemegang saham utama merangkap Pengarah Urusan, Liew Kar Hoe, yang pegangannya akan susut kepada 50.65% pasca penyenaraian berbanding 70% ketika ini.

 

TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin tunggal serta ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com