KUALA LUMPUR 7 Jan – Kee Ming Group Berhad, penyedia rumusan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) memeterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities Holdings Berhad menjelang tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO Kee Ming melibatkan penerbitan 66.63 juta saham baharu mewakili kira-kira 20.5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 325 juta saham.
Bagi orang awam, sebanyak 16.25 juta saham atau 5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan akan disediakan untuk permohonan.
Sementara itu, 8.13 juta saham atau 2.5% diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu lain yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Bagi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI, sebanyak 40.63 juta saham atau 12.5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan manakala 1.63 juta saham atau 0.5% diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Kee Ming yang mempunyai lebih 13 tahun pengalaman dalam industri menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk kejuruteraan elektrik seperti pemasangan voltan tinggi (HV), voltan sederhana (MV), voltan rendah (LV) dan voltan ekstra rendah (ELV), serta perkhidmatan kejuruteraan mekanikal seperti penghawa dingin dan pengudaraan mekanikal (ACMV) dan sistem perlindungan kebakaran.
Kumpulan ini turut menyediakan perkhidmatan kejuruteraan M&E untuk infrastruktur tenaga bersih, termasuk pemasangan fotovoltaik solar (PV) dan penyelesaian pengecasan kenderaan elektrik (EV), selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan Malaysia.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan Kee Ming Group Berhad Ir. Liew Kar Hoe berkata perjanjian taja jamin ini merupakan satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan syarikat ke arah penyenaraian.
“IPO ini akan menyediakan sumber untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dan membolehkan syarikat menjalankan lebih banyak projek atau projek bernilai lebih tinggi, menyokong pertumbuhan perindustrian dan peralihan tenaga bersih di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Setakat 31 Julai 2025, Kee Ming mempunyai 50 projek sedang berjalan bernilai RM218.6 juta dan jumlah buku pesanan tertunggak sebanyak RM142.2 juta.
Tinjauan pasaran perkhidmatan kejuruteraan M&E dijangka terus menyokong pertumbuhan kumpulan, dengan saiz pasaran diunjurkan meningkat daripada RM10.86 bilion pada 2025 kepada RM16.82 bilion pada 2029, mewakili kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 11.9%.
Pertumbuhan ini disokong oleh aktiviti infrastruktur dan pembinaan yang mantap, pengembangan pusat data, projek kerajaan utama seperti Transit Aliran Ringan Pulau Pinang, Sistem Transit Rapid Singapura-Johor dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, serta peralihan tenaga hijau termasuk pembangunan PV solar dan penyelesaian pengecasan EV.
Penyenaraian Kee Ming dijangka mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan M&E, khususnya dalam segmen tenaga bersih, sambil merebut peluang pertumbuhan yang didorong oleh pengembangan perindustrian Malaysia dan peralihan kepada tenaga lestari.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk IPO ini, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn. Bhd. berperanan sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com








