Kee Ming diluluskan oleh Bursa Malaysia bagi penyenaraian di Pasaran ACE, tawar IPO 82.8 juta saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kee Ming diluluskan oleh Bursa Malaysia bagi penyenaraian di Pasaran ACE, tawar IPO 82.8 juta saham

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 29 Dis – Kee Ming Group Berhad, penyedia rumusan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) menerima kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Dalam kenyataan hari ini, Kee Ming berkata penyenaraian berkenaan akan menyokong pengukuhan kedudukan kewangan serta memperluas keupayaan kumpulan untuk melaksanakan lebih banyak projek berskala besar, sejajar dengan pertumbuhan perindustrian dan peralihan tenaga bersih negara.

 

Menurut kumpulan itu, tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan terbitan awam 66.63 juta saham baharu serta tawaran jualan 16.25 juta saham sedia ada, menjadikan keseluruhan 82.88 juta saham biasa atau 25.50% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 325.00 juta saham.

 

Di bawah struktur IPO tersebut, 16.25 juta saham atau 5.00% akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, manakala 8.13 juta saham atau 2.50% diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu layak. 

 

Selain itu, 40.63 juta saham atau 12.50% dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh MITI, serta 1.63 juta saham atau 0.50% kepada pelabur terpilih. 

 

Tawaran jualan pula melibatkan 16.25 juta saham atau 5.00% melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Mengulas perkembangan itu, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Pengarah Urusan Kee Ming Group Berhad, Liew Kar Hoe berkata, kelulusan Bursa Securities merupakan mercu tanda penting dalam perjalanan syarikat.

 

“Kelulusan untuk penyenaraian ini menandakan satu pencapaian utama buat Kee Ming. Bermula sebagai kontraktor M&E di Perak, kami kini berkembang sebagai penyedia rumusan kejuruteraan merangkumi kerja-kerja elektrik HV, MV, LV dan ELV, sistem ACMV dan perlindungan kebakaran, selain pemasangan solar PV dan rumusan pengecasan EV,” katanya.

 

Beliau berkata IPO berkenaan akan memperkukuh kedudukan kewangan kumpulan dan membolehkan Kee Ming mengambil lebih banyak projek atau projek bernilai lebih tinggi yang menyokong pertumbuhan industri serta agenda peralihan tenaga bersih Malaysia.

 

Menurut Kee Ming, kumpulan itu mempunyai lebih 12 tahun pengalaman industri dan telah membina pangkalan pelanggan yang pelbagai di seluruh negara, dengan projek dilaksanakan di Perak, Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah merangkumi pembangunan industri, komersial, kediaman serta segmen tenaga bersih.

 

Kumpulan itu turut memanfaatkan keupayaannya sebagai kontraktor utama dan subkontraktor M&E, di samping hubungan strategik dengan Solarvest Holdings Berhad, yang memegang 30.00% kepentingan ekuiti sebelum IPO dan akan berkurang kepada 23.85% selepas penyenaraian.

 

Menurut kenyataan itu, kerjasama tersebut meletakkan Kee Ming pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan agenda peralihan tenaga negara khususnya dalam penyampaian projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar PV yang memerlukan kepakaran M&E yang kukuh.

 

TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal IPO, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd dilantik sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com