Kedah tidak benarkan Syarikat Air Darul Aman diswasta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kedah tidak benarkan Syarikat Air Darul Aman diswasta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan wujudnya rancangan untuk membenarkan syarikat swasta mengambil alih Syarikat Air Darul Aman (Sada) sebagai operator tunggal bekalan air di negeri itu.

 

Beliau yang juga Pengerusi Sada berkata, cadangan itu adalah tidak realistik memandangkan Sada tertakluk kepada syarat pelesenan serta klausa kontrak yang ketat.

 

“Adalah mustahil perkara ini berlaku selagi saya dan rakan-rakan masih di sini. Sada tidak boleh begitu sahaja diserahkan kepada pihak lain.

 

“Syarikat itu ditubuhkan di bawah Menteri Besar Incorporated untuk mengurus perkhidmatan air negeri dan merupakan pengendali berlesen di bawah Seksyen 9 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Sebarang percubaan ambil alih adalah tidak realistik,” katanya ,” katanya pada persidangan kali kedua sesi ketiga Dewan Undangan Negeri Kedah ke-15 hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azhar Ibrahim (PN–Ayer Hitam) yang ingin tahu mengenai perkara itu susulan laporan media sebelum ini mengenai Ranhill Utilities Bhd yang dikatakan membuat perbincangan dengan kerajaan negeri bagi membincangkan kerjasama strategik dalam pembangunan utiliti dan infrastruktur.

 

Sanusi menegaskan Sada tetap menjadi pengendali utama dengan mematuhi peraturan termasuk Peraturan Perlesenan Industri Perkhidmatan Air 2007 dan Perlembagaan Sada.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, Sada sentiasa terbuka kepada inisiatif strategik bersama syarikat lain untuk menangani cabaran bekalan air tanpa mengubah struktur pemilikan.

 

Mengenai kenaikan tarif air, Sanusi berkata Kedah bukan satu-satunya negeri yang mengalami peningkatan kos air.

 

“Kuasa eksekutif bagi bekalan air bersih terletak pada Kerajaan Persekutuan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang mengawal selia semua lesen dan pelan perniagaan pengendali.

 

“Jika hasil pendapatan pengendali tidak mampu menampung hutang, SPAN mempunyai kuasa untuk mengambil alih.

 

“Semua permohonan penyesuaian tarif bagi negeri-negeri telah diluluskan. Ini berlaku di seluruh negara, bukan hanya di Kedah,” katanya.

 

Beliau menambah, kewangan Sada perlu mencatat keuntungan yang mencukupi untuk membayar hutang dan menaik taraf infrastruktur.

 

Sehingga kini, Sada menjangkakan keuntungan sekitar RM80 juta bagi tempoh tertentu, selaras dengan usaha memastikan kestabilan kewangan negeri. - DagangNews.com