KUALA LUMPUR 17 Julai – Kawan Renergy Bhd meraih kontrak bernilai RM38.81 juta dengan Gas Malaysia Energy Advance Sdn Bhd (GMEA) bagi membina sistem penjanaan bersama turbin gas di Pelabuhan Klang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata, projek tersebut akan dilaksanakan di fasiliti FGV IFFCO Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Pandamaran, meliputi skop kerja pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan sistem.
“Projek dijangka bermula sebaik notis pelaksanaan dikeluarkan oleh GMEA dan siap dalam tempoh 20 bulan, dengan pembayaran dibuat secara berperingkat berdasarkan pencapaian yang dipersetujui.
“Kumpulan menjangkakan projek ini bakal memberi impak positif terhadap prestasi kewangan dan kedudukan aset bersih Kawan Renergy serta subsidiari sepanjang tempoh kontrak,” katanya.
GMEA merupakan usaha sama antara Gas Malaysia Bhd (66%) dan Tokyo Gas Energy Advance Co Ltd (34%) yang aktif dalam penyelesaian tenaga bersepadu termasuk sistem gabungan haba dan kuasa (CHP).
Portfolio GMEA merangkumi pemasangan CHP berskala besar seperti fasiliti 32MW di Pulau Pinang.
Kawan Renergy, yang disenaraikan pada 29 Mei 2024, mempunyai kepakaran dalam reka bentuk, fabrikasi, pemasangan dan pentauliahan peralatan proses industri, loji tenaga boleh baharu serta sistem penjanaan bersama. - DagangNews.com








