Karex dijangka rugi dua suku akan datang, kenaikan harga sehingga 30% ambil masa 9 bulan kukuh pendapatan - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Karex dijangka rugi dua suku akan datang, kenaikan harga sehingga 30% ambil masa 9 bulan kukuh pendapatan - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 April - Pengeluar kondom, Karex Bhd dijangka mencatatkan kerugian dalam tempoh dua suku akan datang berikutan tekanan kos yang berterusan serta cabaran luaran termasuk tarif Amerika Syarikat (AS) dan kelemahan mata wang dolar AS.

 

Menurut RHB Research, antara faktor utama yang menjejaskan prestasi jangka pendek syarikat adalah peningkatan kos input, merangkumi lateks getah asli, lateks nitril, bahan kimia seperti ammonia, minyak silikon serta potensi kenaikan kos pembungkusan foil sekiranya tekanan berlarutan.

 

Selain itu, Karex turut menanggung kesan tarif AS, yang memberi tekanan tambahan kepada margin keuntungan dalam persekitaran operasi yang semakin mencabar.

 

Katanya, bagi mengurangkan impak tersebut, syarikat telah melaksanakan kenaikan harga antara 15% hingga 20% pada Januari hingga Februari 2026. 

 

Namun, langkah itu dilihat hanya mampu mengimbangi sebahagian daripada peningkatan kos yang ditanggung.

 

Kenaikan harga lanjut dalam lingkungan 20% hingga 30% kini sedang dibincangkan, namun pelaksanaannya lazimnya mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan sebelum dapat diterjemahkan kepada pendapatan, berikutan proses rundingan dengan pelanggan.

 

“Sebarang pelarasan harga memerlukan masa untuk dimuktamadkan dan dilaksanakan, namun kebiasaannya kenaikan tersebut bersifat kekal selepas diterima pasaran,” katanya dalam nota kajian hari ini.

 

RHB Research berkata, Karex dijangka memasuki fasa pemulihan bermula tahun kewangan 2027 (FY27), didorong oleh peningkatan skala pengeluaran kondom nitril yang dilihat mampu memperkukuh margin dan mempelbagaikan penawaran produk.

 

Di bawah strategi tersebut, pelanggan utama akan menerajui pelancaran awal pasaran, diikuti pengenalan jenama sendiri (OBM) Karex selepas setahun memperoleh pendaftaran dan kelulusan kawal selia, sebelum pengembangan kepada model reka bentuk sendiri (ODM) dalam tempoh dua tahun.

 

“Apabila volum meningkat, produk nitril dijangka menjadi lebih kos efisien berbanding lateks semula jadi, sekali gus menyokong pengembangan margin kumpulan,” katanya.

 

Karex menyasarkan untuk meningkatkan jumlah barisan pengeluaran nitril kepada 19 menjelang akhir FY27, berbanding sembilan ketika ini.

 

Dari segi unjuran kewangan, anggaran pendapatan bagi FY26 hingga FY28 telah disemak semula kepada kerugian RM2 juta, diikuti keuntungan RM25 juta dan RM46 juta, berbanding unjuran terdahulu masing-masing kerugian RM1 juta, keuntungan RM21 juta dan RM35 juta.

 

Semakan itu mengambil kira andaian terkini melibatkan kadar pertukaran asing, harga jualan purata (ASP) serta kos operasi.

 

Bagaimanapun, RHB Research menjelaskan bahawa kesan penuh kenaikan harga belum dimasukkan sepenuhnya dalam unjuran kerana pelaksanaannya bergantung kepada penerimaan pelanggan serta tempoh rundingan.

 

Dalam masa sama, kelembapan volum dijangka berterusan dalam jangka pendek susulan kejatuhan pasaran tender, terutamanya selepas pemberhentian bantuan kemanusiaan global.

 

“Namun begitu, perubahan dalam dinamik penawaran dan permintaan berpotensi memihak kepada Karex secara beransur-ansur dalam tempoh akan datang,” katanya.

 

Seiring dengan pelarasan unjuran pendapatan, harga sasaran saham Karex dinaikkan kepada RM0.62 daripada RM0.41 sebelum ini, termasuk premium ESG sebanyak 4%.

 

Walaupun gandaan harga kepada pendapatan (P/E) diturunkan kepada 17.5 kali daripada 20 kali bagi menyelaraskan penilaian dengan rakan setara serantau, peningkatan harga sasaran itu mencerminkan keyakinan lebih kukuh terhadap prospek pemulihan jangka sederhana syarikat. - DagangNews.com