KUALA LUMPUR 6 Ogos - Hasil Focus Point Holdings Berhad pada FY25 diramal berkembang didorong peningkatan permintaan daripada populasi warga emas dan kadar rabun yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, kata TA Securities.
Katanya, jualan segmen optikal kumpulan itu meningkat 7.4% kepada RM61.1 juta pada 1QFY25 didorong prestasi kukuh saluran korporat dan jualan runcit.
Firma penyelidikan itu berkata, bilangan pelanggan optikal korporat meningkat kepada 746 dalam 1QFY25, dengan pertumbuhan lanjut dijangka apabila kumpulan bekerjasama dengan pentadbir pihak ketiga untuk mendapatkan pelanggan baharu dan meningkatkan jualan berulang.
"Kumpulan telah membuka lima kedai milik penuh dalam separuh pertama FY25 (1HFY25)—terletak di Karamunsing, Aeon Taman Maluri, Mitsui Sepang, IOI Damansara dan Sunway Carnival.
"Focus Point berhasrat membuka sehingga 10 cawangan optikal baharu pada FY25 dan menaik taraf enam hingga lapancawangan sedia ada," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen makanan dan minuman (F&B) mencatatkan kerugian sebanyak RM700,00 pada 1QFY25 berbanding RM100,000 pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan kos operasi yang meningkat tetapi diimbangi hasil yang naik .1% kepada RM10.9 juta.
Katanya, pertumbuhan itu didorong jualan runcit yang meningkat sebanyak 18.7% kepada RM6.1 juta, disokong pembukaan empat cawangan Komugi baharu dan usaha pemasaran.
"Kumpulan menyasarkan untuk membuka dua hingga tiga lagi cawangan Komugi baharu di Lembah Klang tahun ini.
"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan jualan korporat akan pulih, disokong oleh kemasukan pelanggan korporat baharu dan peningkatan jualan kepada pelanggan sedia ada," katanya.
TA Securities berkata, pihak pengurusan kekal fokus dalam meningkatkan kecekapan operasi bagi melonjakkan keuntungan selain giat mencari pelanggan korporat baharu terutama rangkaian kopi, bagi memanfaatkan baki 40% kapasiti lebihan di dapur pusatnya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.09 sesaham.- DagangNews.com








