Kadar penggunaan pelantar Velesto diramal kukuh disokong kontrak jangka panjang - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar penggunaan pelantar Velesto diramal kukuh disokong kontrak jangka panjang - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Kadar penggunaan pelantar Velesto Energy Berhad diramal kukuh pada suku-suku tahun akan datang disokong kontrak jangka panjang bagi lima daripada enam pelantar jack-up miliknya, menurut penganalisis.

 

Kenanga Research berkata, pelantar-pelantar utama seperti Naga 2, Naga 4 dan Naga 6 kekal dalam operasi sehingga suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY26) manakala Naga 8 kini sedang beroperasi di Indonesia bersama PC Ketapang sehingga Februari 2026.

 

Katanya, Naga 5 telah memulakan kerja bersama PTTEP pada Jun 2025 dengan pilihn lanjutan sehingga 1QFY26.

 

"Satu-satunya pelantar yang tidak beroperasi ketika ini ialah Naga 3 yang sedang menjalani pemeriksaan berkala khas.

 

"Dengan lima pelantar kini aktif atau akan memulakan operasi tidak lama lagi, penggunaan pelantar dijangka meningkat dalam tempoh terdekat, sekali gus menyokong pendapatan kumpulan. 

 

"Bagaimanapun kadar sewa harian (DCR) dijangka sedikit rendah, antara AS$100,000 hingga AS$110,000 sehari, berbanding purata AS$123,000 sehari pada suku sebelumnya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu TA Securities berkata, permintaan untuk pelantar jack-up di Asia Tenggara dijangka berkurangan pada tahun 2025 sebelum pulih semula pada tahun 2026. 

 

Katanya, DCR Velesto dijangka sederhana berikutan lebihan bekalan, namun penyusutan ini dijangka lebih ringan berbanding kemerosotan pada tahun 2016–2017, ketika harga minyak jatuh di bawah AS$50 setong.

 

Firma penyelidikan itu berkata, buku tempahan sedia ada Velesto kini berjumlah RM1.2 bilion, di mana 90% daripadanya (RM1.1 bilion) merupakan kontrak kukuh, memberikan kepastian pendapatan yang tinggi kepada kumpulan. 

 

"Kumpulan juga telah mengenal pasti potensi kontrak bernilai RM4.3 bilion dalam saluran prospek, dengan lebih 80% daripadanya melibatkan perjanjian jangka panjang.

 

"Sebahagian besar prospek ini tertumpu di Malaysia (62%), diikuti oleh Thailand (27%), Vietnam (10%), dan Indonesia (1%), mencerminkan peluang serantau yang pelbagai dan seimbang. 

 

"Sejumlah 87% daripada prospek tersebut berkaitan dengan aktiviti penggerudian, menegaskan kepakaran teras Velesto dalam perkhidmatan pelantar jack-up," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 25 sen sesaham.- DagangNews.com