Kadar penggunaan pelantar Velesto diramal kekal melebihi 75%, kata UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar penggunaan pelantar Velesto diramal kekal melebihi 75%, kata UOBKH

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Kadar penggunaan pelantar Velesto Energy Bhd diramal kekal melebihi 75% walaupun berdepan situasi pasaran perlahan selain gangguan terhadap aktiviti luar pesisir tempatan, kata UOB Kay Hian Research.

 

Katanya, keadaan itu memberikan keyakinan kepada kumpulan untuk mengekalkan pembayaran dividen pada sekitar 7% sama seperti 2024.

 

"Walaupun tiada sebarang strategi dirancang secara khusus, Velesto berjaya mengurangkan 'risiko geopolitik tempatan' dengan meraih peluang di rantau ASEAN khususnya di Indonesia, Vietnam dan Thailand," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keputusan kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2025, Velesto mendedahkan, sedang membida kerja-kerja bernilai RM2.8 bilion di seluruh Asia Tenggara, merangkumi 17 kontrak.

 

Sejak itu, kumpulan tersebut telah berjaya menembusi tiga pasaran utama serantau.

 

Velesto telah memasuki pasaran Indonesia melalui pelantar Naga 8, memperoleh kontrak jangka panjang pertamanya di Vietnam untuk Naga 4, dan menembusi pasaran Thailand melalui Naga 2.

 

"Bagi Malaysia, kerja-kerja luar pesisir di bawah bidang kuasa Sarawak, termasuk kerja berkaitan minyak dan gas serta penangkapan/pemegangan karbon, masih terus terganggu,” katanya.

 

Walaupun beroperasi di luar Malaysia, UOBKH berkata, pemegang kontrak utama bagi ketiga-tiga pelantar tersebut masih merupakan PETRONAS Carigali Sdn Bhd.

 

“Kami menjangkakan lebih banyak kontrak di ASEAN akan memberi manfaat kepada Velesto. Ketelusan permintaan terhadap pelantar jack-up di Indonesia, Vietnam dan Thailand kini telah mengatasi permintaan di Malaysia.

 

“Ini juga selari dengan trend penurunan struktur pegangan pasaran oleh kontraktor pelantar antarabangsa, disebabkan gangguan rantaian bekalan dan faktor keselamatan negara,” katanya.

 

Walaupun kadar sewaan harian (DCR) dalam pasaran global pelantar jack-up kini berada dalam julat antara AS$80,000 hingga AS$120,000, UOBKH berkata, kontrak jangka panjang terkini yang dimenangi oleh Velesto berada di bahagian bawah julat tersebut.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kumpulan tersebut mengutamakan kontrak jangka panjang bagi memastikan kadar penggunaan pelantar kekal melebihi 75%.

 

“Bagaimanapun, kami melihat risiko pengecilan margin adalah rendah, kerana kami difahamkan tekanan kenaikan kos pelantar (iaitu tenaga kerja dan inventori) telah mula berkurangan," katanya.- DagangNews.com