KUALA LUMPUR 11 April - Jumlah pengangguran di Malaysia pada Februari 2025 terus menyusut kepada 3.1% menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 532,800 orang, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh negara kekal stabil selaras dengan perkembangan ekonomi semasa yang menggalakkan.
Beliau berkata, bilangan tenaga buruh pada bulan Februari 2025 berada dalam trend yang meningkat, naik sebanyak 0.3% dari bulan ke bulan kepada 17.27 juta orang (Januari 2025: 17.22 juta orang) manakala kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi direkodkan pada bulan tersebut iaitu pada 70.7% (Januari 2025: 70.6%).
"Bilangan penduduk bekerja pada Februari 2025 menunjukkan peningkatan berterusan dengan pertambahan sebanyak 0.3%, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 16.73 juta orang, berbanding 16.68 juta orang pada Januari 2025.
"Pada masa yang sama, bilangan penganggur mengalami penurunan sebanyak 0.2%, berkurang kepada 532,800 orang (Januari 2025: 533,800 orang). Kadar pengangguran kekal pada 3.1%, tidak berubah daripada bulan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengikut sektor ekonomi, sebahagian besar penduduk bekerja adalah tertumpu dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong & runcit; dan maklumat & komunikasi.
Trend guna tenaga yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, dan pertanian, manakala bilangan penduduk bekerja dalam sektor perlombongan & pengkuarian menurun.
Mohd Uzir berkata, berdasarkan perangkaan itu, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan disokong oleh kemajuan berterusan dalam projek jangka panjang, peningkatan pendapatan isi rumah dan keadaan monetari global yang mereda.
Beliau berkata, struktur ekonomi negara yang pelbagai dan dasar yang menyokong turut mempengaruhi kedudukan pasaran buruh pada bulan berkenaan.
"Kerajaan turut melaksanakan pembaharuan untuk meningkatkan keterangkuman tenaga kerja, mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing, dan menggalakkan automasi dan mekanisasi.
"Langkah-langkah ini bertujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi dan meningkatkan produktiviti.
"Prospek pasaran buruh Malaysia dilihat meyakinkan pada bulan-bulan akan datang, disokong oleh dasar dan pelaburan yang mantap dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi," katanya.- DagangNews.com








