Kadar pengangguran di Malaysia diyakini kekal pada paras 3% pada tahun ini, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar pengangguran di Malaysia diyakini kekal pada paras 3% pada tahun ini, kata MBSB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Kadar pengangguran di seluruh negara diyakini berada paras purata 3% pada tahun ini berbanding 3.4% pada tahun sebelumnya, kata MBSB Research. 

 

Katanya, keadaan itu disokong peningkatan peluang pekerjaan dan peluang kerjaya yang berterusan terutamanya dalam sektor perkhidmatan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penciptaan peluang pekerjaan dan permintaan buruh yang kukuh dijangka didorong penggunaan domestik yang mampan serta aktiviti pelaburan yang berterusan.

 

"Namun, gangguan berkaitan tarif boleh menjejaskan permintaan global dan memberi tekanan terhadap pengambilan pekerja dalam sektor yang berkait rapat dengan eksport dan komoditi.

 

"Sebaliknya, peningkatan guna tenaga dan pertumbuhan gaji yang stabil dijangka tertumpu kepada industri berorientasikan domestik yang agak terlindung daripada kesan tarif AS yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kadar pengangguran kekal 3.0% pada Jun 2025, jumlah penganggur turun kepada 518,700 - DOSM

 

Terdahulu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh mengekalkan momentum pertumbuhan positifnya pada bulan tersebut, didorong oleh pengembangan berterusan ekonomi negara.

 

Keadaan itu mencerminkan peningkatan pekerjaan yang stabil dan penurunan dalam pengangguran dengan perkembangan tenaga buruh di Malaysia meneruskan aliran menaik pada Jun 2025.

 

Tinjauan dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati, trend pekerjaan pada bulan berkenaan juga adalah selaras dengan kadar yang dicatatkan sebelum itu pada Mei 2025.

 

Mengulas prestasi secara keseluruhan bagi tempoh suku kedua tahun ini, beliau berkata, tenaga buruh mengalami pertumbuhan 0.8 peratus kepada 17.37 juta orang, berbanding 17.23 juta pada suku pertama.- DagangNews.com