KUALA LUMPUR 2 Mei — Laporan audit KPMG PLT mendedahkan penyata kewangan teraudit KNM Group Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 penuh dengan ketidakpastian serta dibimbangi boleh mencetuskan keraguan terhadap keupayaannya keluar daripada Nota Amalan 17 (PN17).
Firma audit tersebut berkata, liabiliti semasa kumpulan berkenaan turut didapati melebihi aset semasa sebanyak RM449.7 juta pada FY24 selain dinilai sebagai berlaku kemungkiran terhadap pinjaman dan isu peminjaman yang berjumlah RM1.33 bilion.
Ia juga mengesahkan tarikh akhir KNM untuk menyerahkan pelan penyelarasan kepada pihak berkuasa kawal selia pada 30 April 2025, memandangkan status PN17 itu tetapi permohonan lanjutan telah dikemukakan pada 24 April 2025 bagi tambahan enam bulan kepada 31 Oktober 2025.
KPMG juga mendedahkan mengenai skim prosiding pengaturan berterusan anak syarikat penuh kumpulan tersebut iaitu KNM Process Systems Sdn Bhd (KNMPS) dan menyatakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan perintah mesyuarat pemiutang yang dipanggil oleh mahkamah.
Bagaimanapun, firma tersebut menambah, permohonan KNMPS untuk perintah sekatan (RO) selama tiga bulan telah ditolak dan ia sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi untuk menggugurkan permohonan RO manakala RO sementara telah disediakan untuk menunggu rayuan.
KPMG juga katanya, menyenaraikan perancangan KNM untuk berusaha melupuskan Deutsche KNM GmbH, FBM Hudson Italiana SpA dan FBM Hudson FZE.
Sebelum itu pada Februari 2025, kumpulan tersebut memeterai perjanjian untuk menjual Deutsche KNM, syarikat induk penyumbang pendapatan utamanya Borsig GmbH, kepada syarikat seramik, NGK Insulators Ltd yang berpangkalan di Jepun pada harga €270 juta (RM1.26 bilion).
Sementara itu, ia telah menerima tawaran untuk FBM Hudson Italiana dan FBM Hudson.
“Pada tarikh laporan ini, keupayaan kumpulan dan syarikat untuk meneruskan usaha berterusan sangat bergantung kepada rancangan serta faktor yang didedahkan.
“Justeru, penyata kewangan kumpulan dan syarikat mungkin memerlukan pelarasan berkaitan kebolehpulihan dan klasifikasi aset yang direkodkan serta jumlah liabiliti tambahan jika tidak dapat melaksanakan atau mencapai hasil rancangan tersebut dengan berjaya,” kata KPMG.
Selain itu katanya, disebabkan tidak berupaya mendapatkan bukti audit yang cukup, firma tersebut tidak dapat menentukan kesesuaian nilai bawaan aset KNM sebanyak RM405.89 juta, nilai bawaan kepentingan dalam unit berjumlah RM1.98 bilion, dan jumlah terhutang daripada unit RM459.88 juta.
KPMG berkata, ia turut tidak menyatakan pendapatnya mengenai penyata kewangan KNM. - DagangNews.com








