Juruaudit beri amaran terhadap keupayaan Sapura Energy untuk terus beroperasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Juruaudit beri amaran terhadap keupayaan Sapura Energy untuk terus beroperasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Sapura Energy Bhd menerima amaran daripada juruaudit luar, firma Ernst & Young PLT (EY) mengenai keupayaannya untuk terus beroperasi selepas liabiliti semasanya melebihi aset.

 

Dalam audit terhadap penyata kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 (FY25), EY mengeluarkan pendapat audit tanpa kelayakan namun dengan penekanan perkara berhubung ketidaktentuan berkaitan status entiti itu. 

 

Sapura Energy dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, EY menekankan, liabiliti semasa kumpulan dan syarikat masing-masing telah melebihi aset semasa mereka sebanyak RM11.25 bilion dan RM4.31 bilion setakat akhir Januari 2025, menunjukkan kumpulan itu sedang menghadapi kekangan mudah tunai yang serius.

 

Antara perkara utama yang dibangkitkan dalam audit EY termasuklah penilaian rosot nilai (impairment assessment) bagi nilai muhibah (goodwill) dalam penyatuan serta harta, loji dan peralatan (PPE). 

 

Setakat akhir Januari, jumlah buku bagi nilai muhibah dan PPE masing-masing berjumlah RM118.6 juta dan RM4.83 bilion, yang mewakili kira-kira 34% daripada jumlah aset kumpulan.

 

Nilai muhibah tersebut dikaitkan dengan segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C). Manakala PPE, yang termasuk kapal-kapal, telah tertakluk kepada ujian kemerosotan nilai disebabkan kerugian berterusan kumpulan serta cabaran berpanjangan dalam sektor minyak dan gas.

 

Satu lagi fokus utama audit adalah pengiktirafan hasil daripada kontrak pembinaan, yang menyumbang kira-kira 56% daripada jumlah hasil kumpulan bagi FY25, menurut EY.

 

Kumpulan menggunakan kaedah peratusan siap dengan pendekatan input untuk mengukur kemajuan berdasarkan kadar kos yang telah dibelanjakan berbanding jumlah kos kontrak yang dianggarkan. 

 

EY menyatakan, kaedah itu memerlukan pertimbangan pengurusan yang signifikan, khususnya dalam menganggarkan kos untuk disiapkan serta menilai kerugian yang dijangka.

 

"Ini menandakan tahun keempat berturut-turut juruaudit Sapura Energy membangkitkan ketidaktentuan material mengenai status entiti berterusan kumpulan. 

 

"Kebimbangan ini berkait dengan lanjutan perintah penangguhan (restraining order), keputusan tuntutan undang-undang berkaitan kontrak E&C yang ditamatkan, serta kejayaan dan ketepatan masa dalam pelaksanaan cadangan skim pengaturan (scheme of arrangement, SOA), yang memerlukan kelulusan sekurang-kurangnya 75% daripada pemiutang skim berkaitan dalam mesyuarat yang diatur oleh mahkamah," katanya.

 

Bagaimanapun, EY berkata, penyata kewangan FY25 telah disediakan berdasarkan andaian kebolehterusan entiti, yang hanya kekal sah jika kumpulan berjaya memperoleh semua kelulusan yang diperlukan dan menyelesaikan rancangan penyusunan semula menjelang tarikh akhir pada 11 Mac 2026.

 

Tempoh masa itu adalah kritikal untuk keberkesanan SOA, perjanjian pembiayaan bersyarat, serta penyelesaian komersial berkaitan projek E&C yang telah ditamatkan. - DagangNews.com