KUALA LUMPUR 13 Okt - Jumlah jualan Top Glove Corp Berhad diramal meningkat 10% pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) didorong peningkatan permintaan daripada pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Kenanga Research berkata, momentum pemulihan permintaan dijangka berterusan selepas tempoh penyusutan inventori yang panjang dalam kalangan pelanggan antarabangsa, terutama di AS, di mana pesanan baharu menunjukkan trend peningkatan ketara.
“Permintaan yang tertunda kini kembali meningkat apabila pelanggan mula menambah semula stok, terutamanya daripada pembeli di AS selepas fasa pembelian awal sebelum ini,” katanya dalam satu nota kajian.
Pada suku keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25), kadar penggunaan kapasiti syarikat meningkat kepada 71% berbanding 61% pada 3QFY25, dengan pertumbuhan jualan volum bagi sarung tangan nitril meningkat 9% dan latex melonjak 25%.
ARTIKEL BERKAITAN: Top Glove kembali catat keuntungan bersih RM109.07 juta bagi FY2025
Terdahulu, bagi 4QFY25, Top Glove mencatatkan hasil sebanyak RM889.6 juta, meningkat 7% YoY, manakala pendapatan keseluruhan tahun meningkat 39% YoY kepada RM3.5 bilion.
Keuntungan suku keempat juga kembali positif sebanyak RM36.5 juta, berbanding kerugian RM23.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Firma penyelidikan itu berkata, penurunan purata harga jualan (ASP) bagi nitril (-1%) dan getah asli (-9%) berpunca daripada penurunan harga bahan mentah, bukannya strategi untuk menurunkan harga bagi merebut pasaran.
Katanya, eksport syarikat ke pasaran AS melonjak 58% dari suku tahun ke suku tahun pada 4QFY25, berbanding peningkatan 24% pada 3QFY25, sekali gus menjadikan AS menyumbang 35% daripada jumlah jualan kumpulan, lebih tinggi daripada purata pra pandemik sebanyak 20% hingga 30%.
Syarikat kini menyasarkan pasaran AS untuk menyumbang sehingga 40% daripada jumlah jualan dalam tempoh dua tahun akan datang, memanfaatkan margin yang lebih tinggi berbanding pasaran Eropah.
Dalam masa sama, keanjalan operasi pengeluaran membolehkan syarikat menukar antara barisan sarung tangan nitril dan getah asli mengikut keadaan pasaran, bagi mengimbangi tekanan harga yang lebih agresif daripada pengeluar China di Eropah.
“Dengan skala kapasiti yang besar, tumpuan kepada pasaran AS dianggap strategik kerana kadar penggunaan yang lebih tinggi akan meningkatkan kecekapan operasi dan menurunkan kos seunit,” katanya.- DagangNews.com








