KUALA LUMPUR 20 Ogos - Jualan SP Setia Berhad bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) melonjak 34% kepada RM1.18 bilion berbanding RM883 juta pada suku sama tahun sebelumnya dengan sebahagian besarnya didorong sumbangan projek domestik.
Kumpulan itu berkata, jualan kumpulan bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25) sebahagian besarnya disumbangkan projek domestik sebanyak RM1.42 bilion mewakili kira-kira 75% daripada jumlah jualan manakala projek antarabangsa menyumbang RM480 juta iaitu sekitar 25% .
Katanya, wilayah tengah mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM955 juta, manakala wilayah selatan menyumbang RM430 juta. Sepanjang tempoh kajian ini, Setia telah mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM1.90 bilion.
Bagaimanapun, untung bersih bagi 2QFY25 susut kepada RM99.8 juta berbanding RM295 juta berbanding suku sama tahun sebelumnya manakala hasil kumpulan turut menyusut kepada RM943.7 juta berbanding RM1.49 bilion pada 2QFY24.
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Choong Kai Wai berkata, prestasi kumpulan pada suku ini mencerminkan usaha berterusan mereka dalam menyampaikan produk berkualiti dan mempelbagaikan portfolio.
Beliau berkata, pada 9 Julai 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75%, iaitu penurunan kadar pertama dalam tempoh lima tahun.
Penurunan kadar ini memberi isyarat jangkaan pertumbuhan dalam industri pembangunan hartanah, khususnya dalam segmen kediaman, dengan meningkatkan kemampuan pembeli, mengurangkan kos pembiayaan pemaju, serta berpotensi meningkatkan sentimen pasaran di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berpanjangan serta peningkatan kos pembinaan.
"Di sebalik cabaran pasaran semasa, kami kekal optimis selain terus mencari peluang untuk mengembangkan kehadiran dalam segmen berpotensi tinggi yang disasarkan.
"Sementara itu, kumpulan akan terus mempercepatkan pembangunan bandar bersepadu berimpak tinggi, taman perindustrian eko, kerjasama strategik serta memanfaatkan penciptaan nilai di seluruh koridor pertumbuhan utamanya," katanya dalam satu kenyataan.
Di peringkat antarabangsa, SP Setia telah mengadakan majlis pecah tanah bagi projek Setia Garden Residences di perbandaran EcoXuan miliknya di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam pada 26 Julai 2025.
Dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak AS$81 juta (RM381.1 juta), Setia Garden Residences dijadual siap pada tahun 2027 dan disasarkan untuk menjadi mercu tanda baharu di koridor utara Bandar Ho Chi Minh. - DagangNews.com








