KUALA LUMPUR 22 Julai - Jualan kereta diramal merosot dalam beberapa bulan akan datang disebabkan tekanan inflasi yang semakin mengurangkan kuasa membeli pengguna, kata RHB Research.
Katanya, peningkatan kos sara hidup serta akses pembiayaan yang semakin ketat, sentimen pengguna terhadap pembelian barangan bernilai tinggi seperti kereta semakin merosot, menyebabkan jangkaan penurunan jualan kenderaan secara menyeluruh.
Firma penyelidikan itu berkata, data dari sektor itu menunjukkan kadar kelulusan pinjaman bagi pembelian kenderaan telah menyusut kepada 55% setakat 2025, penurunan ketara berbanding julat 58% hingga 63% yang dicatatkan antara 2022 dan 2024.
Keadaan itu menunjukkan kriteria pemberian pinjaman yang lebih ketat turut mengehadkan keupayaan pengguna untuk membeli kenderaan baharu.
“Walaupun jenama automotif menawarkan promosi dan diskaun, tekanan asas ke atas bajet isi rumah adalah ketara," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, syarikat automotif utama mula merasai kesan tersebut apabila Perodua dan Toyota, dua jenama terlaris di Malaysia menyaksikan baki tempahan menyusut kepada 90,000 dan 15,000 unit, masing-masing turun daripada 100,000 dan 20,000 unit setahun yang lalu.
Segmen bukan nasional, yang kebanyakannya terdiri daripada jenama antarabangsa, dijangka menghadapi cabaran yang lebih besar.
Katanya, pendatang baharu dari China yang membawa masuk gelombang model elektrik dan hibrid, telah meningkatkan persaingan, mencetuskan siri penetapan harga agresif dan promosi di pasaran.
Firma penyelidikan itu berkata, pelaksanaan semakan duti eksais berdasarkan Nilai Pasaran Terbuka (OMV) telah ditangguhkan ke Januari 2026, ia merupakan penangguhan kali keempat oleh Kementerian Kewangan.
Katanya, walaupun penangguhan itu memberi sedikit ruang bernafas kepada industri automotif, dengan hanya lima bulan lagi sebelum OMV dikuatkuasakan, ia tetap memberikan tekanan kepada rantaian bekalan sedia ada.
"Sekiranya tiada lagi penangguhan selepas 2026, duti ini dijangka boleh menyebabkan peningkatan harga purata antara 10% hingga 30% bagi kereta CKD (pemasangan tempatan sepenuhnya).
"Namun begitu, Kementerian Kewangan memaklumkan, pihaknya sedang dalam proses memuktamadkan kaedah pengiraan harga dan memberi petunjuk bahawa kenaikan 10% hingga 30% tersebut tidak mungkin berlaku," katanya. - DagangNews.com







