KUALA LUMPUR 28 Julai – Industri automotif nasional dijangka mencatat prestasi lebih sederhana pada separuh kedua tahun ini (2H25), dipengaruhi oleh tekanan margin yang berterusan, permintaan yang semakin menyederhana serta persaingan harga yang agresif, menurut penganalisis.
Namun, firma-firma penyelidikan meramalkan jenama nasional seperti Perodua akan terus mendominasi Jumlah Volum Industri (TIV), meskipun persekitaran dasar dan ekonomi semakin mencabar.
Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) telah menaikkan unjuran TIV 2025 kepada 770,000 unit daripada 750,000 unit sebelum ini, disokong oleh prestasi jualan Perodua yang konsisten dan kukuh.
"HLIB menjangkakan TIV 2H25 Perodua kekal stabil kerana masih mempunyai tunggakan tempahan sekitar 100,000 unit serta kadar tempahan baharu yang masih memberangsangkan.
“Kekuatan Perodua terletak pada keupayaannya menawarkan model mampu milik, kadar lokaliti tinggi dan strategi penyesuaian kepada cabaran struktur pasaran yang dinamik,” kata HLIB dalam nota kajiannya.
HLIB turut menjangkakan sebanyak 345,000 unit kenderaan nasional akan terjual tahun ini dengan sebahagian besar tunggakan tempahan masih melibatkan Perodua walaupun jumlah keseluruhan telah menurun kepada sekitar 120,000–130,000 unit.
Bagaimanapun, firma itu memberi amaran margin keuntungan dalam sektor ini tetap berdepan tekanan disebabkan peningkatan persaingan harga dalam pasaran automotif tempatan.
Sementara itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran TIV yang lebih tinggi iaitu 805,000 unit, disokong oleh pembelian awal pengguna menjelang pelaksanaan duti eksais baharu yang ditangguhkan ke hujung tahun ini, peningkatan pendapatan isi rumah serta permintaan yang stabil dalam segmen mampu milik.
“Perodua dijangka kekal sebagai peneraju dengan penguasaan pasaran TIV sekitar 44 peratus, didorong oleh kadar lokaliti yang tertinggi dalam industri,” katanya.

Berbeza dengan segmen kenderaan premium, firma itu berkata, beberapa faktor akan menyebabkan pembeli yang berpendapatan tinggi menangguhkan pembelian mereka.
“Antaranya rasionalisasi subsidi bahan api, kos utiliti yang meningkat serta keutamaan pengguna yang beralih kepada model lebih kecil atau memilih kenderaan hibrid dan elektrik (EV),” kata Kenanga.
Selain itu, BIMB Research pula menjangka segmen EV terus menjadi perhatian pasaran, namun jualannya kekal mencabar.
Firma itu berkata, pendaftaran EV pada Jun merosot 21 peratus secara bulanan kepada 3,272 unit kerana permintaan kembali normal selepas beberapa pelancaran model baharu.
“Tesla mencatat penurunan tertinggi sebanyak 45 peratus kepada 587 unit, manakala BYD kekal sebagai peneraju dengan 1,045 unit.
“Walaupun pasaran EV menunjukkan pertumbuhan tahunan namun kadar penembusan kekal rendah pada 4.3 peratus dan masih jauh daripada sasaran kerajaan untuk mencapai 20 peratus menjelang 2030,” kata BIMB.
Firma itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemampuan pemilikan, kos pinjaman yang tinggi serta kelewatan pembangunan infrastruktur pengecasan sebagai antara penghalang utama.
“Persaingan harga daripada pengeluar asal China (OEM) menekan margin. Ditambah pula dengan kadar faedah pinjaman yang tinggi dan kelewatan dalam pengembangan infrastruktur EV, pasaran kekal berhati-hati,” katanya.
Dalam pada itu, RHB Research pula kekal berhati-hati dengan mengekalkan unjuran TIV pada 730,000 unit, mengambil kira momentum pasaran pasca pandemik semakin reda dan tunggakan tempahan semakin berkurangan.
“Selepas tiga tahun mencatat rekod jualan, kami tidak menjangka sebarang pemangkin besar bagi mengekalkan tahap jualan semasa,” katanya.
Kadar kelulusan pinjaman juga dilaporkan menurun kepada 55 % setakat ini, berbanding 58–63 % antara 2022 hingga 2024. Inflasi dan jangkaan potongan harga turut menyumbang kepada keputusan pengguna untuk menangguhkan pembelian.
“Kemasukan model baharu serta perang harga yang agresif telah mewujudkan persekitaran pasaran yang sangat kompetitif,” jelasnya.
"Mengulas hala tuju dasar, HLIB menjangkakan Mekanisme Insentif Tersuai Baharu (NCM) yang akan dilaksanakan pada suku keempat 2025 akan menggantikan Program Perkaitan Industri sedia ada, dengan sistem insentif yang lebih fleksibel dan tersusun untuk menggalakkan pembangunan kenderaan elektrik (EV), penggunaan komponen tempatan dan aktiviti penyelidikan dalam industri automotive.
“NCM akan menggalakkan pengeluar memperluas rantaian bekalan tempatan,” jelas HLIB.
Dalam masa yang sama, struktur duti eksais baharu berasaskan nilai pasaran terbuka (OMV) yang telah ditangguhkan empat kali, kini dijadualkan bermula pada Januari 2026.
Namun begitu, RHB tidak menjangkakan peningkatan harga sebanyak 10 hingga 30 peratus akan berlaku seperti yang dibimbangkan.
“Namun tekanan terhadap rantaian bekalan kekal kerana hanya lima bulan berbaki sebelum dasar itu dikuatkuasakan,” kata firma itu.
Kesemua firma penyelidik utama iaitu HLIB, Kenanga, RHB dan BIMB mengekalkan saranan neutral ke atas sektor automotif buat masa ini, mengambil kira ketidaktentuan dasar, persaingan sengit dan permintaan yang semakin berhati-hati. - DagangNews.com








