KUALA LUMPUR 5 Mei - Jenama minuman global, Coca-Cola, memulakan tahun 2025 dengan prestasi kewangan yang tidak memberangsangkan apabila syarikat itu mencatatkan penurunan dalam jualan dan jumlah produk yang dijual di Amerika Syarikat (AS).
Kejatuhan itu didorong oleh perubahan mendadak dalam tingkah laku pengguna serta kehilangan sokongan daripada komuniti Latin, yang sebelum ini merupakan antara kumpulan pengguna terpenting syarikat.
Dalam laporan kewangan suku pertama tahun 2025 yang diumumkan baru-baru ini, Coca-Cola melaporkan, jualan bersih di AS menurun sebanyak 4% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, walaupun pendapatan keseluruhan di rantau itu sebenarnya meningkat.
Selain itu, jumlah produk yang dijual turut merosot sebanyak 3%, melibatkan hampir semua kategori produk utama Coca-Cola termasuk minuman berjenama Coca-Cola, Diet Coke, Fanta, Sprite, air mineral Dasani, minuman sukan, kopi dan teh.
Pendapatan keseluruhan syarikat juga mengalami penyusutan sebanyak 2%, menjadikan jumlah hasil hanya RM46.78 bilion untuk suku pertama 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola, James Quincey berkata, prestasi lemah itu berpunca daripada beberapa faktor, termasuk keadaan cuaca ekstrem, perubahan kalendar perniagaan, serta yang paling ketara, kelemahan sentimen pengguna, khususnya dalam kalangan komuniti Latin di AS.
"Kami berjaya menambah pendapatan dan keuntungan di Amerika Utara serta menguasai bahagian pasaran dari segi nilai, tetapi kami tidak berpuas hati dengan prestasi jualan dari segi jumlah produk.
"Semasa suku pertama, kami melihat penurunan paling ketara dalam kalangan pengguna Latin," katanya dalam panggilan sidang media bersama pelabur baru-baru ini, seperti laporan portal The Street.
Katanya, penurunan sokongan tersebut berlaku selepas tersebarnya sebuah video di platform media sosial TikTok pada Februari lalu yang mendakwa Coca-Cola telah memberhentikan ribuan pekerja Amerika Latin dan melaporkan mereka kepada Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).
Video berkenaan menjadi tular dan mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat Latin, dengan ramai menyeru untuk memboikot produk keluaran Coca-Cola.
Quincey menjelaskan, video berkenaan mengandungi maklumat yang palsu.
"Walaupun video itu palsu, ia memberi kesan kepada perniagaan kami. Ini juga bukan kali pertama Coca Cola menjadi sasaran kempen boikot," ujarnya.
Beliau menambah, satu lagi faktor yang menyumbang kepada kemerosotan jualan produk syarikat adalah kewujudan kempen 'Latino Freeze Movement', yang digerakkan oleh komuniti Latin sebagai reaksi terhadap tindakan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump yang memperkenalkan semula dasar imigrasi ketat serta mengurangkan program kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI).
Gerakan tersebut menyeru pengguna Latin supaya menghentikan pembelian dari syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan pentadbiran Trump atau yang mengurangkan usaha mereka dalam menyokong prinsip DEI.
Coca-Cola dipercayai menjadi antara syarikat yang terkena tempias daripada kempen berkenaan.
Sebagai langkah pemulihan, Quincey memaklumkan, syarikat akan melaksanakan beberapa strategi untuk mendapatkan semula kepercayaan dan sokongan pengguna Latin.
"Kami sedang memberi fokus khusus untuk memenangi kembali hati pengguna Latin, bukan sahaja dari segi promosi produk, tetapi juga melalui saluran jualan yang lebih mesra pengguna dan memperkukuh pilihan harga mampu milik," katanya.
Selain isu sosial dan politik, Coca-Cola turut berdepan dengan perubahan ketara dalam corak perbelanjaan pengguna di seluruh AS, yang kini lebih berjimat-cermat susulan ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat, terutamanya antara AS dan Mexico akibat Tarif Perdagangan AS.
Menurut Quincey, ketegangan tersebut memberi kesan bukan sahaja kepada perbelanjaan pengguna di AS, tetapi juga kepada rantaian bekalan rentas sempadan antara Mexico dan AS.
"Ada sedikit pengurangan dalam trafik pelanggan dan pembelian, bukan sahaja di AS, tetapi juga di utara Mexico.
"Oleh kerana ekonomi kedua-dua negara saling bergantung, ketegangan ini menyebabkan pengguna lebih berhati-hati dan mengurangkan perbelanjaan luar," jelas Quincey.
Kebimbangan terhadap ekonomi turut disokong oleh data terkini dari The Conference Board yang menunjukkan, tahap keyakinan pengguna AS jatuh sebanyak 7.9 mata pada bulan lalu, penurunan paling besar sejak Mei 2020.
Malah, Indeks Jangkaan juga jatuh kepada 54.4, iaitu paras terendah sejak Oktober 2011.
Bacaan di bawah 80 biasanya dianggap sebagai petanda awal kepada kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi.
Keadaan itu memberi cabaran berganda kepada syarikat seperti Coca-Cola yang bergantung kepada perbelanjaan harian pengguna. - DagangNews.com








