KUALA LUMPUR 14 Ogos – JS Solar Holding Berhad memeterai perjanjian taja jamin bersama TA Securities Holdings Berhad bagi rancangan penyenaraian awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
JS Solar menawarkan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta operasi dan penyelenggaraan untuk projek fotovoltan solar (solar PV) berskala kediaman, komersial, industri dan utiliti, termasuk sistem solar bertingkat tanah, terapung dan bumbung.
Pengarah Urusan JS Solar, Johnson Chai berkata, langkah ini adalah permulaan syarikat dalam memfokuskan kepada pertumbuhan dan pengukuhan kehadirannya di pasaran.
“Dana IPO akan digunakan untuk memperkukuh kedudukan syarikat dalam industri solar PV Malaysia serta meneroka integrasi Battery Energy Storage Systems (BESS) bagi meningkatkan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang stabil dan boleh dipercayai.
“Kumpulan juga telah menyiapkan projek BESS di Kulim Hi-Tech Park sebagai bukti komitmen terhadap teknologi tenaga boleh diperbaharui canggih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
IPO itu melibatkan terbitan 78 juta saham baharu, mewakili 24% daripada modal diperbesarkan serta penawaran 19.5 juta saham sedia ada, bersamaan 6% daripada modal diperbesarkan.
Daripada saham terbitan, 16.25 juta saham akan ditawarkan kepada orang ramai, 19.5 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan penyumbang utama melalui Peruntukan Borang Merah Jambu, manakala baki 42.25 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Saham tawaran sebanyak 19.5 juta juga akan ditawarkan melalui penempatan persendirian.
Melalui perjanjian itu, TA Securities bersetuju menjamin sebanyak 35.75 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang ramai dan Peruntukan Borang Merah Jambu, memastikan IPO berjalan lancar walaupun permintaan pasaran kurang mencukupi.
JS Solar dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang suku ketiga 2025.
TA Securities berperanan sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat kewangan. - DagangNews.com








