KUALA LUMPUR 11 Jun - Johor mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia bagi suku pertama tahun 2025 dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM30.1 bilion, didorong oleh sektor perkhidmatan bernilai tinggi dan inisiatif kerjasama strategik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Lee Ting Han berkata, pencapaian itu adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui strategi pelaburan yang terbuka dan berpandangan jauh.
"Kebanyakan pelaburan ini memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan berimpak tinggi seperti logistik, pusat data dan kemudahan perniagaan moden.
"Ia selaras dengan hasrat Johor untuk menjadi pusat ekonomi digital dan industri bernilai tinggi," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, kejayaan tersebut turut dibantu oleh pelbagai inisiatif seperti penubuhan Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia dan kerjasama rapat dengan agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), agensi Kerajaan Persekutuan serta pihak berkuasa tempatan.
Ting Han berkata, projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menarik perhatian pelabur luar negara, serta usaha menaik taraf infrastruktur seperti jalan raya, pelabuhan dan sistem tenaga juga membantu menarik lebih banyak pelaburan ke Johor.
Tambah beliau, dasar yang konsisten dan mesra pelabur seperti inisiatif Johor Fast Lane serta penyediaan tenaga kerja berkemahiran melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor juga memainkan peranan penting dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi.
"Kami menghargai semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan ini termasuk penjawat awam, pemain industri, agensi promosi pelaburan seperti IRDA, MIDA, Invest Johor serta penyedia utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad, Ranhill SAJ dan komuniti perniagaan.
"Kerajaan negeri Johor akan terus komited memperkukuh ekosistem pelaburan, menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memastikan pembangunan yang seimbang serta menyeluruh," jelasnya. - DagangNews.com







