KUALA LUMPUR 21 April - Johor mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pertumbuhan serantau dengan RM98.9 bilion pelaburan sedang berjalan dan akan berlangsung di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) apabila ia memperkenalkan beberapa cadangan baharu bagi menjamin masa depan ekonomi rantau ini.
Dalam forum perniagaan dan pelaburan bersama JS-SEZ yang pertama hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pelaburan diluluskan bernilai RM48.5 bilion pada 2024 selain tambahan RM27.4 bilion yang dicatatkan pada suku pertama 2025.
Katanya, sejumlah RM23 bilion lagi ialah projek sedang berada dalam perancangan.
"Angka-angka ini mencerminkan kepercayaan mendalam yang diberikan oleh para pelabur terhadap Johor. Kami serius, responsif dan bersedia," katanya kepada 1,000 hadirin termasuk Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, hari ini.
Onn Hafiz turut mengumumkan dua cadangan utama baharu, iaitu Sandbox Kawal Selia Johor (Johor Regulatory Sandbox) dan Taman Perindustrian ASEAN, bagi memperhebat inovasi dan kerjasama serantau.
Sandbox Kawal Selia itu akan menyediakan ruang terkawal untuk menguji inovasi dalam bidang teknologi kewangan (fintech), logistik pintar, teknologi hijau dan teknologi autonomi di bawah peraturan yang lebih fleksibel.
Sementara itu, Taman Perindustrian ASEAN akan menyasarkan pelaburan strategik daripada negara anggota Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dengan fokus kepada pembuatan termaju, ekonomi digital dan teknologi hijau.
Taman itu akan menawarkan insentif yang disesuaikan termasuk pengecualian cukai, mobiliti bakat dan kelonggaran sementara terhadap peraturan pemulangan dana.
“Cadangan-cadangan itu bukanlah sekadar angan-angan. Ia adalah langkah strategik yang berpijak di bumi nyata untuk menjadikan JS-SEZ destinasi pelaburan paling kompetitif dan menarik di rantau ini,” katanya.
Bagi menyokong inisiatif pelaburan itu, Johor turut melancarkan Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia – Johor (IMFC-J) dan inisiatif Lorong Super Johor (JSL).
Pembaharuan itu telah memendekkan tempoh pemprosesan pelaburan berkeutamaan daripada 24 bulan kepada hanya sedikit lebih setahun.
Onn Hafiz berkata, IMFC-J dan JSL telah memberi manfaat kepada banyak syarikat termasuk Princeton Digital Group, Wiwynn Technology, Olam/Markono dan Mayora.
Beliau berkata, projek-projek itu sebagai “berimpak tinggi” dan merupakan sebahagian daripada 42 pembangunan yang kini sedang diproses secara dipercepatkan.
Beliau turut memuji komitmen berterusan Singapura terhadap JS-SEZ, sambil memetik kenyataan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong yang menyeru agar Johor dan Singapura tidak dianggap sebagai hab berasingan, tetapi sebagai “satu ekosistem yang saling melengkapi”.
Ketika menyentuh ketegangan serantau seperti isu tarif, Onn Hafiz menekankan, cabaran seharusnya menjadi pemangkin, bukan alasan.
Beliau menggesa kedua-dua negara untuk memanfaatkan kesukaran sebagai dorongan ke arah membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dan saling berhubung.
“Mari kita mara ke hadapan dengan satu visi, dua negara, dan kemakmuran bersama,” katanya. - DagangNews.com








