Johor jalin kerjasama dengan University of Oxford tingkatkan keupayaan pegawai dan GLC negeri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor jalin kerjasama dengan University of Oxford tingkatkan keupayaan pegawai dan GLC negeri

Gambar Facebook Menteri Besar Johor
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept – Kerajaan Negeri Johor akan menjalin kerjasama dengan University of Oxford, khususnya Blavatnik School of Government, bagi memperkukuh latihan dan pengalaman pegawai kerajaan negeri.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menekankan kepentingan pegawai negeri mendapat latihan mencukupi untuk terus memacu pembangunan Johor.

 

Katanya, cadangan itu turut melibatkan kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik negeri Johor agar mampu merealisasikan matlamat ekonomi yang ditetapkan sebelum ini.

 

“Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menegaskan supaya pegawai-pegawai kerajaan negeri Johor mendapat latihan dan pengalaman yang secukupnya untuk terus membangunkan negeri Johor. 

 

“Syukur Alhamdulillah. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan University of Oxford, khususnya Blavatnik School of Government, sebuah institusi tersohor dunia yang melahirkan pemimpin, pembuat dasar, dan penyelidikan berimpak tinggi.

 

“Pertemuan ini membuka ruang penting untuk Johor mendapatkan pandangan daripada tokoh akademik ternama berhubung dasar, kepimpinan berwawasan dan tadbir urus inklusif,” katanya dalam satu kenyataanyang dimuatnaik di Facebook rasminya hari ini.

 

t

 

Tambahnya, Oxford turut berkongsi pengalaman mereka dalam merangka program latihan eksekutif yang mampu memperkukuh keupayaan pembuat dasar, penjawat awam dan kepimpinan GLC di Johor.

 

“Semoga lawatan ini menjadi titik tolak dalam mengukuhkan lagi hubungan Johor dengan rakan strategik global.

 

“Harapan kami agar kerjasama ini dapat melahirkan bakat berwawasan serta pemimpin berintegriti yang mampu membawa Johor dan Bangsa Johor ke tahap yang lebih gemilang. Insya-Allah,” katanya.

 

Johor terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama ekonomi negara apabila mencatat pencapaian cemerlang dalam sektor pelaburan dan pembangunan infrastruktur sepanjang tahun 2024 hingga separuh pertama 2025.

 

Bagi tahun 2024, Johor merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.4 peratus, tertinggi di Malaysia dan mengatasi purata nasional 5.1 peratus.

 

Sehingga suku kedua 2025, Johor mencatat nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM56 bilion, tertinggi dalam negara, meletakkannya sebagai destinasi utama pelaburan domestik dan asing.

 

Selain itu, perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimeterai pada Januari 2025 disasar mewujudkan 50 projek serta 20,000 peluang pekerjaan mahir dalam tempoh lima tahun. Inisiatif ini dijangka melonjakkan lagi integrasi ekonomi kedua-dua wilayah. - DagangNews.com