KUALA LUMPUR 8 Sept – Johor terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama ekonomi negara apabila mencatat pencapaian cemerlang dalam sektor pelaburan dan pembangunan infrastruktur sepanjang tahun 2024 hingga separuh pertama 2025.
Bagi tahun 2024, Johor merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.4 peratus, tertinggi di Malaysia dan mengatasi purata nasional 5.1 peratus.
Sehingga suku kedua 2025, Johor mencatat nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM56 bilion, tertinggi dalam negara, meletakkannya sebagai destinasi utama pelaburan domestik dan asing.
Selain itu, perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimeterai pada Januari 2025 disasar mewujudkan 50 projek serta 20,000 peluang pekerjaan mahir dalam tempoh lima tahun. Inisiatif ini dijangka melonjakkan lagi integrasi ekonomi kedua-dua wilayah.
Semua pencapaian itu dimaklumkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail melalui Facebook rasmi HRH Crown Prince of Johor, semalam.
“Dalam titah ucapan pembukaan sidang ADUN yang pertama saya sebagai Pemangku Sultan Johor, saya telah menyatakan bahawa keutamaan saya untuk negeri Johor adalah untuk mempertingkatkan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan penjagaan kesihatan agar Bangsa Johor dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” titah baginda dalam Facebook tersebut.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri komited memastikan setiap rakyat mendapat manfaat daripada kemajuan yang digerakkan, sama ada melalui peluang pekerjaan, kemudahan infrastruktur atau perkhidmatan yang lebih inklusif.
“Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang menekankan kepentingan pembangunan ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan penjagaan kesihatan demi kesejahteraan rakyat.
“Titah tersebut menjadi panduan kepada saya dan seluruh kepimpinan negeri untuk memperkukuh dasar, melaksanakan projek berimpak tinggi serta memperhebat usaha pembangunan demi kemaslahatan Bangsa Johor.
“Pimpinan negeri juga akan terus bekerja keras bagi memastikan setiap inci pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada seluruh rakyat Johor, selain memperkukuh keyakinan pelabur bahawa Johor kekal sebagai destinasi pelaburan berdaya saing dan strategik,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya.

Sebelum ini, kerajaan negeri turut menubuhkan Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J) bagi menyelaras dan memudah cara pelaburan.
Sehingga Ogos 2025, sebanyak 73 potensi pelaburan bernilai RM27.33 bilion telah diterima melalui pusat berkenaan.
Dalam tempoh sama, sebanyak 42 projek pusat data dengan nilai pelaburan RM164.45 bilion telah diluluskan, sekali gus menjana 6,000 peluang pekerjaan.
Pelaburan besar ini dilihat bakal memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab kecerdasan buatan (AI) serantau.
Pencapaian lain yang dimaklumkan ialah hasil negeri turut melonjak apabila buat pertama kali melepasi angka RM2 bilion pada tahun 2024, dengan terimaan sebenar mencecah RM2.1 bilion berbanding unjuran awal RM1.9 bilion.
Dari aspek infrastruktur, projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru telah mencapai 99.48 peratus siap.
Perkhidmatan ETS juga telah diperluaskan ke daerah Kluang pada Ogos lalu dan dijangka beroperasi sepenuhnya sehingga Johor Bahru pada Disember 2025.
Projek Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System (RTS Link) pula berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pada Disember 2026.
Beberapa projek lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara Selatan Fasa 1 (Senai Utara-Kulai dan Kulai-Sedenak) serta Lebuhraya Senai-Desaru Fasa 1 turut giat dilaksanakan.
Johor juga mendapat kelulusan projek infrastruktur bekalan air bernilai RM991 juta dengan kapasiti 260 juta liter sehari (MLD), meningkatkan kesiapsiagaan negeri menerima pelaburan berkualiti tinggi termasuk pusat data yang memerlukan sumber utiliti berskala besar. - DagangNews.com








