KUALA LUMPUR 24 Sept – JF Technology Bhd melangkah masuk ke pasaran sel ujian semikonduktor Amerika Syarikat (AS) melalui pelaburan strategik dalam ATS Technology Services Inc (ATSI), sebuah syarikat berpangkalan di California milik Paul dan Susan Emmett.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, JF Tech berkata, anak syarikat tidak langsung miliknya, ATS Technology Services Sdn Bhd (ATSSB) menandatangani perjanjian pemegang saham dengan Emmett untuk melanggan 130,000 saham biasa ATSI, mewakili 13 peratus ekuiti yang bernilai AS$1.3 juta (RM5.46 juta).
ATSSB juga akan mempunyai hak untuk menamakan seorang pengarah ke dalam Lembaga Pengarah ATSI selagi ia memegang sekurang-kurangnya 13% kepentingan ekuiti.
“Pelaburan itu akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman antara syarikat daripada JF International Sdn Bhd, unit milik penuh JF Tech.
“Di bawah perjanjian tersebut, ATSSB akan menguruskan perolehan serta logistik komponen ujian semikonduktor.
“ATSI pula akan berurusan dengan pelanggan berpangkalan di AS bagi menggalakkan penggunaan serta menyediakan sokongan perkhidmatan,” katanya dalam makluman itu.
JF Tech menegaskan pelaburan itu melengkapkan pengambilalihan terbaharu syarikat Singapura, Q3 Probe Pte Ltd, pakar dalam ujian wafer hadapan, sekali gus mengukuhkan kehadirannya dalam rantaian nilai semikonduktor.
Pelaburan itu dijangka selesai menjelang 30 September 2025 dan memberi sumbangan positif dalam jangka panjang syarikat. - DagangNews.com








