KUALA LUMPUR 3 April - Jentayu Sustainables Bhd membatalkan rancangan untuk memperoleh aset solar di Manjung, Perak, dua minggu selepas ia mengumumkan langkah serupa bagi perolehan aset hidro di Sabah.
Perjanjian tersebut dibatalkan selepas syarikat gagal mendapatkan lanjutan masa daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk menyelesaikan urus niaga melibatkan pihak berkait dengan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Beroz Nikmal Mirdin.
Jentayu berkata, keputusan itu dibuat kerana kemungkinan terdapat kos tambahan untuk penghantaran permohonan baharu kepada SC, jangkaan kelewatan dan ketidakpastian tentang tempoh masa untuk menyelesaikan perolehan yang dicadangkan, yang mungkin menyebabkan perjanjian berkenaan tidak memberi manfaat seperti yang diharapkan.
"Syarikan dengan ini menamatkan perjanjian jual beli saham solar (SSA) dengan Terra Solaris Sdn Bhd.
"Perjanjian yang ditandatangani pada 22 September 2021 itu melibatkan pengambilalihan 100% kepentingan dalam Terra Solaris, yang memegang hak pembangunan untuk projek fotovolta solar berskala besar (LSSPV) berkapasiti 10.95 megawatt (MW) di Manjung, Perak," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada program LSS4@MEnTARI kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE).
Jentayu menjelaskan, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak melanjutkan perjanjian tersebut selepas tarikh tamat tempoh pada 31 Mac 2025, berikutan peningkatan kos yang ketara yang memberi kesan kepada kebolehlaksanaan projek.
Syarikat itu turut menegaskan komitmennya untuk meneroka peluang-peluang tenaga boleh diperbaharui lain yang selaras dengan objektif strategik dan kriteria kewangannya.
Pada 17 Mac 2025, Jentayu mengumumkan ia membatalkan rancangan untuk memperoleh aset hidro di Sabah. - DagangNews.com








