KUALA LUMPUR 18 Ogos - Johor Corporation (JCorp) dipercayai sudah menjual hotel The Puteri Pacific yang terletak di Johor Bahru, menurut sumber.
Hotel setinggi 20 tingkat itu telah menghentikan operasi sejak 2020 semasa pandemik COVID-19, dilaporkan telah dijual kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan hartawan hartanah, Tan Sri Desmond Lim yang juga mengawal beberapa entiti besar seperti Malton Berhad, Pavilion REIT dan WCT Holdings Berhad.
Berdasarkan maklumat terdahulu, pada tahun 2021, harga untuk hotel tersebut adalah sekitar RM140 juta, tetapi tiada pembeli yang berminat ketika itu.
Menurut laporan The Edge, sumber itu berkata, nilai semasa hotel itu dipercayai hampir kepada RM100 juta.
Hotel bertaraf empat bintang itu mempunyai 424 bilik itu terletak di atas tanah pegangan bebas seluas 0.75 hektar dan dilengkapi 200 tempat letak kereta bertutup.
Hotel itu dahulunya dikenali sebagai Pan Pacific Johor Bahru sehingga tahun 2005 dan terletak bersebelahan dengan Persada Johor International Convention Centre, yang turut dimiliki JCorp.

Carian melalui syarikat milik JCorp, iaitu JCorp Hotels and Resorts Sdn Bhd, menunjukkan 68.7% pegangan dalam Puteri Hotels Sdn Bhd, pemilik hotel ini, manakala selebihnya dipegang oleh JCorp.
Dalam laporan tahunan JCorp 2020, Puteri Hotels disenaraikan sebagai salah satu aset bukan teras atau lemah prestasi yang sedang dalam proses dilupus atau ditutup bagi mengurangkan risiko kerugian masa panjang
Sumber memberitahu The Edge, tapak tersebut berpotensi tinggi dibangunkan semula memandangkan lokasinya berhampiran City Square Shopping Mall, JB Sentral, serta Stesen Rapid Transit System (RTS) Bukit Chagar dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
Hanya beberapa minit perjalanan dari hotel itu, terletak projek pembangunan bercampur berintegrasi bernilai RM2.6 bilion oleh Sunway Berhad, dengan kerjasama Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd, yang akan dihubungkan terus ke stesen RTS Bukit Chagar – menghubungkan Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura.
Projek seluas 1.71 hektar itu akan menampilkan kediaman bertingkat tinggi, pusat membeli-belah, pusat kesihatan dan kesejahteraan, hab pendidikan serta komponen hospitaliti.
Ia juga akan menyediakan tempat letak kereta bertingkat RTS, yang dijangka dibuka pada November 2026, manakala laluan RTS dijadualkan mula beroperasi pada Disember 2026.
Pasaran hartanah Johor kekal kukuh hasil daripada projek pemangkin dan inisiatif kerajaan termasuklah RTS Johor Bahru–Singapura, Zon Kewangan Khas Forest City, Sistem Transit Autonomi Bertingkat (E-ART) serta Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
The Edge melaporkan, pada 2014 JCorp telah menjual Selesa Beach Resort di Port Dickson kepada Felda Investment Corp pada harga RM40 juta dan Hotel Selesa Johor Bahru melalui anak syarikatnya Damansara REIT Managers Sdn Bhd, serta Menara Metropolis kepada Smartwheels Group pada harga RM125 juta.
JCorp terlibat dalam sektor agribisnes, kesihatan dan kesejahteraan, makanan dan restoran, serta hartanah dan infrastruktur. Ia memiliki syarikat pengendali hospital KPJ Healthcare Berhad dan pengeluar minyak sawit Johor Plantations Group Bhd.
Ia juga memiliki QSR Brands (M) Holdings Berhad yang mengendalikan rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia.
JLand Group, iaitu bahagian hartanah dan infrastruktur milik JCorp, mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM205.81 juta dengan hasil pendapatan RM1.3 bilion pada tahun 2024 secara asas pro forma, sementara menunggu penyempurnaan penyusunan semula dalaman. - DagangNews.com








