KUALA LUMPUR 17 Dis – Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) melancarkan Panduan Pembiayaan Mampan & Peralihan (Sustainable and Transition Finance Guidance - STFG) sebagai garis panduan praktikal kepada bank dalam menyediakan pembiayaan yang lestari dan menyokong peralihan ke ekonomi rendah karbon.
STFG dilancarkan oleh Sub Jawatankuasa Produk dan Inovasi JC3 sempena penganjuran Transition Planning Clinic yang berlangsung di Sasana Kijang baru-baru ini.
Ia dibangunkan oleh kumpulan kerja diketuai Maybank melibatkan CIMB dan HSBC Amanah dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Sri Khairussaleh Ramli berkata sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja STFG, Maybank komited untuk memperkukuh landskap pembiayaan mampan dan peralihan dalam sekotr kewangan Malaysia.
“STFG adalah hasil kolaborasi sebenar antara industri perbankan dan pengawal selia.
“Panduan STFG memberi fokus kepada penilaian peminjam pada kedua-dua peringkat aset dan entiti. Ia menyediakan prinsip asas yang boleh digunakan oleh bank untuk menilai kesesuaian projek atau syarikat dalam menerima pembiayaan berdasarkan kriteria kewangan lestari,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan STFG bukanlah inovasi baharu, tetapi memindahkan prinsip global kepada konteks tempatan bagi mempromosikan amalan kewangan lestari di Malaysia.
CEO Kumpulan CIMB Novan Amirudin pula berkata sektor kewangan memainkan peranan dalam memacu pertumbuhan yang bertanggungjawab dan memberikan nilai jangka panjang kepada masyarakat serta alam sekitar.
“STFG menyediakan panduan praktikal yang diperlukan untuk menyokong aspirasi kelestarian negara,” katanya.
Sementara itu, CEO HSBC Amanah Raja Amir Shah Raja Azwa pula berkata sebagai ahli JC3, bank itu komited menyokong tindakan kolaboratis bagi membia daya tahan iklim sektor kewangan di Malaysia.
“STFG memainkan peranan penting dalam mempromosikan amalan pembiayaan mampan dan peralihan yang bertanggungjawab dalam kalangan institusi kewangan di Malaysia. Ia juga menjadi rujukan untuk inisiatif pembangunan kapasiti yang disokong oleh JC3,” katanya.
Selain prinsip dan panduan penilaian, STFG turut menyediakan alat bagi bank menilai kemajuan pelanggan dalam peralihan ke amalan ekonomi rendah karbon.
Ini termasuk kaedah untuk menilai projek atau syarikat yang tidak memenuhi semua kriteria dalam rangka kerja kelestarian nasional atau global tetapi masih menunjukkan langkah peralihan yang signifikan.
Pelancaran panduan ini disaksikan oleh Penolong Gabenor BNM merangkap Pengerusi Bersama JC3 Madelena Mohamed dan Ketua Pegawai Kelestarian SC Neetasha Rauf.
Panduan STFG dibangunkan berdasarkan maklum balas daripada kaji selidik pra-draf dan proses konsultasi awam. Ini menunjukkan komitmen sektor kewangan Malaysia untuk memastikan amalan kewangan lestari dilaksanakan secara kredibel, konsisten dan memberi impak yang nyata.
JC3 ditubuhkan pada September 2019 sebagai platform kolaboratif untuk membina daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia.
Dengan lima jawatankuasa kecil termasuk Risiko, Tadbir Urus dan Produk & Inovasi, JC3 menyatukan bank, institusi kewangan dan pengawal selia bagi menggalakkan pembiayaan yang lestari dan menyokong peralihan ekonomi negara. - DagangNews.com








