KUALA LUMPUR 22 April - Jaycorp Bhd melalui anak syarikatnya, Jaycorp Green Energy Sdn Bhd (JGE), menganugerahkan kontrak bernilai RM40.6 juta kepada Wasco Thermal Sdn Bhd bagi pembinaan sistem dandang biojisim baharu di Pasir Gudang, Johor.
Wasco Thermal, yang juga dimiliki 60% oleh Wasco Bhd, adalah pakar dalam penghasilan dandang wap berkuasa sisa biojisim, minyak, gas asli dan sistem tenaga bersepadu.
Jaycorp berkata, sistem baharu itu mampu menghasilkan sebanyak 70 tan wap sejam dan akan membantu JGE memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Menurut syarikat, JGE kini beroperasi pada kapasiti penuh dan tidak dapat memenuhi permintaan wap keseluruhan yang melebihi 120 tan sejam.
"Projek ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran wap biojisim JGE sehingga 95 tan sejam, sekali gus memastikan bekalan yang stabil dan mencukupi untuk menyokong keperluan pelanggan," katanya dalam satu kenyataan.
Projek berkenaan dijangka dibiayai sebahagian besarnya melalui pinjaman bank, dengan tambahan dana dalaman syarikat.
Kerja-kerja pembinaan akan bermula sebaik sahaja kontrak dimuktamadkan dan dijangka siap menjelang tahun kewangan 2027.
Sebagai sebahagian daripada syarat kontrak, Wasco Thermal perlu menyerahkan bon prestasi bersamaan 10% daripada nilai kontrak, atau Jaycorp akan menahan 12% daripada bayaran kemajuan.
Setelah projek siap, bon prestasi itu akan digantikan dengan bon jaminan, atau jumlah yang ditahan akan disimpan sepanjang tempoh jaminan selama 12 bulan.
Jaycorp juga akan membuat bayaran pendahuluan sebanyak 5% daripada jumlah kontrak. - DagangNews.com








