Jaya Tiasa beli tanah di Sibu berharga RM100 juta bagi pembangunan bercampur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jaya Tiasa beli tanah di Sibu berharga RM100 juta bagi pembangunan bercampur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mei - Jaya Tiasa Holdings Bhd menerusi Jaya Tiasa Property Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Yemas Development Sdn Bhd bagi pembelian empat lot tanah berharga RM100 juta bagi pembangunan bercampur di Sibu, Sarawak. 

 

Kumpulan itu berkata, pembelian tanah itu merupakan satu peluang bagi mereka untuk memperluaskan portfolio perniagaannya dengan menceburi sektor pembangunan hartanah.

 

Katanya, penglibatan dalam sektor pembangunan hartanah membolehkan kumpulan menambah saluran hasil baharu melalui penjualan dan penyewaan hartanah yang dibangunkan.

 

"Kami menjangkakan kumpulan akan mendapat manfaat daripada permintaan hartanah yang dijangka meningkat di kawasan tengah Sarawak," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Segmen perniagaan semasa Jaya Tiasa merangkumi pembangunan ladang kelapa sawit, pemprosesan minyak sawit, pengekstrakan dan penjualan balak serta pembangunan hutan tanaman.

 

Kumpulan itu berkata, memandangkan lokasi strategik yang terletak dalam jarak 1km dari Dataran Bandar Sibu, ia menawarkan kelebihan ketara untuk pembangunan hartanah, yang berpotensi dibangunkan sebagai hartanah kediaman dan komersial.

 

"Ia dijangka membolehkan kumpulan melindungi diri daripada ketidakstabilan harga komoditi global yang bersifat semula jadi, khususnya dalam sektor minyak sawit.

 

"Penyertaan kumpulan dalam segmen pembangunan hartanah akan memperkenalkan aliran pendapatan baharu melalui penjualan dan penyewaan hartanah yang telah dibangunkan.

 

"Cadangan pengambilalihan ini dijangka selesai dalam tempoh dua tahun dari tarikh SPA tetapi tertakluk kepada pemenuhan semua syarat-syarat terdahulu," katanya.- DagangNews.com