Jati Tinggi peroleh kontrak RM117 juta dari TNB bina Stesen Suis 275kV di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jati Tinggi peroleh kontrak RM117 juta dari TNB bina Stesen Suis 275kV di Johor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Dis – Jati Tinggi Group Berhad (JTGB) melalui anak syarikatnya, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd (JTHSB) bersama Idiqa Holding Sdn Bhd (IHSB) menerima Surat Pelantikan (LOA) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melaksanakan kerja-kerja kontrak bagi projek Stesen Suis Jelutong 275kV (PMU) di Johor – termasuk sambungan bekalan 275kV ke pusat data.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Jati Tinggi berkata, kontrak berjumlah RM117.17 juta itu merangkumi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan melibatkan pembekalan, pemasangan, ujian serta pentauliahan sambungan bekalan 275kV ke pusat data.

 

“Ia termasuk pembinaan Stesen Suis TNB 275kV di Jelutong, Johor yang bertujuan untuk menyambungkan bekalan elektrik berkuasa tinggi ke pusat data.

 

“Projek ini dijalankan melalui usaha sama tidak berdaftar antara JTHSB dan IHSB, dengan perkongsian tanggungjawab masing-masing sebanyak 70% untuk JTHSB dan 30% untuk IHSB, atau mengikut peratusan yang dipersetujui bersama.

 

“Tempoh kontrak berkuat kuasa mulai 16 Disember 2025 dan dijangka disiapkan dalam tempoh 730 hari dari tarikh mula yang akan ditentukan kemudian,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Usaha sama ini juga dikehendaki menyediakan jaminan prestasi bagi kerja-kerja berkenaan dalam tempoh 56 hari dari tarikh LOA, serta melengkapkan semua insurans berkaitan sebelum memulakan kontrak.

 

Tempoh notifikasi kecacatan ditetapkan selama 365 hari, bagi memastikan sebarang isu dikesan dan diperbaiki mengikut piawaian ditetapkan.

 

Lembaga Pengarah JTGB menjangka penerimaan LOA ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham syarikat sepanjang tempoh kontrak.

 

Pengumuman ini tidak akan menjejaskan modal saham syarikat atau pegangan pemegang saham utama JTGB.

 

Selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan projek, tiada faktor risiko lain yang dijangka memberi kesan kepada syarikat dalam perjalanan perniagaan harian.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam LOA berkenaan.

 

Lembaga Pengarah JTGB, selepas meneliti semua aspek berkaitan, berpendapat penerimaan LOA ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat.

 

Projek ini menandakan penglibatan JTGB dalam usaha memperkukuh kapasiti infrastruktur tenaga elektrik di Johor, khususnya bagi penyediaan bekalan stabil kepada pusat data yang semakin kritikal dalam ekosistem digital negara.

 

Dengan kontrak bernilai lebih RM117 juta ini, JTGB mengukuhkan kedudukannya dalam sektor kejuruteraan tenaga dan pembekalan infrastruktur elektrik berskala tinggi di Malaysia. - DagangNews.com