KUALA LUMPUR 12 Dis – Internet yang sepatutnya menjadi ruang selamat untuk kanak-kanak kini berdepan ancaman sisi gelapnya apabila bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) terus tersebar tanpa kawalan.
Bahan ini bukan sekadar mempunyai kandungan terlarang, malah mencerminkan penderaan seksual sebenar yang dialami mangsa di bawah umur.
Lebih memburukkan keadaan apabila penggunaan aplikasi pesanan peribadi, platform awan dan rangkaian gelap menjadikan penyebaran CSAM ini semakin sukar dikawal.
Pensyarah Kanan Program Kaunseling Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rezki Perdani Sawai berkata, mangsa CSAM berisiko mengalami trauma berpanjangan termasuk gangguan stres pasca trauma (PTSD), ketakutan sosial, rasa malu melampau dan masalah kepercayaan.
Beliau berkata, penyebaran semula bahan ini menyebabkan trauma berulang kerana penderaan mangsa terus dapat diakses oleh orang lain.
“Berdasarkan kajian oleh Wortley (2024), pelaku CSAM tidak mempunyai ciri khusus dan ada yang memanipulasi mangsa melalui hubungan kepercayaan, manakala sebahagian lain menggunakan identiti palsu dalam talian untuk memperdaya kanak-kanak.
“Ramai pelaku tidak bermula dengan minat seksual terhadap kanak-kanak, tetapi terdedah secara tidak sengaja atau kerana rasa ingin tahu,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com.

Akses yang mudah kepada CSAM mendorong pelaku mencari kandungan yang semakin ekstrem dan melibatkan kanak-kanak lebih muda.
Tambahnya, tingkah laku ini sering disertai rasa malu beserta konflik dalaman, namun usaha untuk berhenti biasanya gagal kerana ketagihan digital.
“Situasi ini menegaskan internet tanpa kawalan membuka ruang kepada jenayah seksual kanak-kanak.
“Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau penggunaan gajet, mendidik anak tentang keselamatan digital, serta menjelaskan had sempadan tubuh dan privasi mereka,” katanya.
Pendidikan awal ini boleh mengurangkan risiko kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi seksual dalam talian.
Masyarakat juga perlu bertanggungjawab melaporkan sebarang kandungan mencurigakan dan tidak menormalisasikan bahan seksual yang melibatkan kanak-kanak.
Beliau berkata, peranan aktif masyarakat dan pihak berkuasa adalah penting untuk membendung penyebaran CSAM.
“Pihak berkuasa digesa memperkukuh penguatkuasaan undang-undang dan memperluaskan kerjasama antarabangsa untuk membanteras jenayah digital ini.
“Tindakan proaktif diperlukan memandangkan CSAM bukan sahaja isu tempatan tetapi ancaman global.
“Dengan usaha bersama antara ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa, ancaman CSAM boleh dikurangkan demi melindungi keselamatan dan masa depan generasi muda,” katanya.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan pendedahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan peningkatan ketara dalam kes jenayah berasaskan teknologi yang melibatkan kanak-kanak.
Antara kesalahan seksual terhadap kanak-kanak ialah jenayah rogol, liwat, cabul, grooming dan pornografi secara paksa.
Ketika ini, undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kekal sebagai mekanisme utama untuk pendakwaan.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM Terengganu, Dr Farah Safura Muhammud berkata, masih ramai rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa tindakan "forward" atau berkongsi bahan sedemikian di WhatsApp atau media sosial boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Beliau berkata, teknik-teknik yang digunakan oleh pengedar CSAM semakin canggih dengan modus operandi terbaharu seringkali melibatkan penggunaan saluran tersembunyi dan peribadi, termasuk kumpulan sembang tertutup, aplikasi mesej yang disulitkan, dan rangkaian gelap (dark web) yang sukar dikesan oleh pihak berkuasa.
“Faktor sebegini menjadikan usaha memerangi jenayah ini lebih mencabar, menuntut kepakaran jenayah siber yang tinggi dan kerjasama antarabangsa.
“Oleh itu, langkah kawalan di peringkat awal adalah sangat penting untuk membendung penyebaran CSAM. Platform penyedia perkhidmatan digital memegang peranan kritikal sebagai lapisan kawalan akhir yang perlu mengesan, mengehadkan, dan mengeluarkan bahan CSAM.
“Platform perlu bertindak pantas dan tegas untuk mengelakkan bahan berbahaya ini daripada diedarkan semula secara berulang kali. Tindakan proaktif dari platform inilah yang menentukan sama ada bahan haram dapat dibendung secara efektif,” katanya.

Sejajar dengan arahan nasional semasa, langkah mengehadkan penggunaan media sosial kepada usia 16 tahun menjadi satu fokus utama yang disambut baik pelbagai pihak.
Beliau berkata, naratif ini menekankan kepentingan kawalan akses berdasarkan umur dengan memastikan individu di bawah umur ini dihalang daripada memasuki ruang siber yang berisiko tinggi.
“Ini adalah satu usaha penting untuk mencipta persekitaran digital yang lebih selamat bagi golongan muda yang lebih terdedah kepada ancaman siber.
“Kajian menunjukkan kanak-kanak di bawah usia tertentu mungkin tidak mempunyai kematangan kognitif untuk menguruskan risiko dalam talian secara berkesan.
Namun, wujud juga perdebatan mengenai implikasi hak asasi kanak-kanak untuk akses maklumat dan kebebasan bersuara, memerlukan pendekatan yang seimbang antara perlindungan dan hak.
“Perkara ini memerlukan penelitian lebih lanjut oleh pihak berkuasa dan pakar berkaitan.
"Selain itu, Kerajaan Australia misalnya telah mengambil pendekatan yang proaktif untuk melindungi kanak-kanak di ruang siber, termasuk dari risiko yang mungkin timbul daripada platform media sosial seperti TikTok,” katanya.
Australia bukan "mengharamkan" TikTok secara langsung untuk kanak-kanak secara menyeluruh, tetapi lebih kepada mewujudkan kerangka peraturan dan tekanan kepada syarikat platform untuk memastikan keselamatan pengguna bawah umur.
Oleh itu, beliau berkata, kerajaan Malaysia juga digesa untuk menguatkuasakan standard keselamatan dengan mewajibkan platform media sosial untuk mematuhi standard keselamatan asas, termasuk mengambil tindakan pantas terhadap kandungan buli siber, bahan penderaan seksual kanak-kanak dan kandungan berbahaya lain.
“Peranan ibu bapa, guru dan komuniti di rumah juga tidak boleh dipandang remeh. Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang bahaya CSAM dan cara untuk memantau serta mendidik anak-anak mereka mengenai penggunaan internet yang selamat.
“Kawalan akses, tetapan privasi, dan komunikasi terbuka dengan anak-anak adalah benteng pertama pertahanan, membentuk perlindungan isi rumah yang kukuh terhadap ancaman siber.
“Dalam Islam, ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar untuk mendidik dan membesarkan anak-anak mereka mengikut ajaran agama dan memastikan mereka terpelihara dari anasir-anasir buruk. Ini termasuk mengawasi aktiviti digital mereka,” katanya.- DagangNews.com








