JAKS Resources meterai PPA dengan TNB bangunkan dua loji solar 99.99MW di Setiu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JAKS Resources meterai PPA dengan TNB bangunkan dua loji solar 99.99MW di Setiu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis – JAKS Resources Berhad memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membangunkan dua loji solar fotovoltaik berskala besar (LSS) masing-masing berkapasiti 99.99 megawatt di Setiu, Terengganu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, JASK berkata perjanjian tersebut ditandatangani oleh dua anak syarikatnya iaitu JAKS CP Solar One Sdn. Bhd dan JAKS CP Solar Two Sdn. Bhd.

 

“PPA itu menetapkan bahawa kedua-dua anak syarikat JAKS Resources akan mereka bentuk, membina, memiliki, mengendalikan dan menyelenggara loji tenaga solar tersebut yang terletak di Mukim Merang, daerah Setiu.

 

“Perjanjian tersebut menetapkan tempoh jual beli tenaga elektrik bersih yang dihasilkan kepada TNB bagi tempoh 21 tahun bermula dari tarikh operasi komersial, tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui,” katanya dalam makluman tersebut.

 

JAKS Resources memaklumkan PPA itu  dijangka tidak memberi kesan material terhadap keuntungan atau aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. 

 

“Namun, loji-loji solar ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan sepanjang tempoh 21 tahun operasi,” katanya.

 

Syarikat juga menegaskan bahawa tiada risiko luar biasa dijangka selain risiko operasi biasa berkaitan loji, dan langkah-langkah mitigasi akan diambil sekiranya perlu.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mereka yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam PPA ini.

 

Lembaga Pengarah berpendapat bahawa pelaksanaan PPA adalah demi kepentingan terbaik kumpulan, dan ia tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa pengawalseliaan lain. - DagangNews.com